GERIK – Seorang lelaki warga emas maut manakala empat yang lain cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa berusia 63 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Sabarodzi, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.14 petang dengan bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli digerakkan terlebih dahulu kerana lokasi kejadian lebih hampir, sebelum disusuli anggota BBP Gerik.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada pukul 6.25 petang, didapati anggota BBP Jeli telah berada di tempat kejadian.
“Tiga mangsa iaitu seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak telah dihantar lebih awal ke Hospital Gerik menggunakan ambulans KKM,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia ditemui berada di luar kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala seorang lagi lelaki berusia 42 tahun mengalami kecederaan ringan pada jari.
Katanya, wanita berusia 38 tahun mengalami patah tulang paha, manakala dua kanak-kanak masing-masing berusia 12 dan sembilan tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurut beliau, komander operasi mengaplikasikan konsep SAVER dengan memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum mereka diserahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan lanjut.
“Pegawai perubatan KKM mengesahkan lelaki berusia 63 tahun itu telah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Mangsa lelaki berusia 42 tahun turut diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Operasi yang melibatkan 17 anggota daripada BBP Gerik dan BBP Jeli berjaya dikawal pada pukul 6.35 petang sebelum ditamatkan sembilan minit kemudian. -MG Perak


