Negara diancam dengan fenomena ‘Melayu fobia’, Akta Hasutan tak cukup

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menggubal satu akta khusus bagi memperuntukkan kesalahan jenayah terhadap mana-mana pihak yang bertindak mempertikaikan atau mempersoalkan asal usul orang Melayu di negara ini.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual dari Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berpendapat, peruntukan sedia ada seperti Akta Hasutan 1948 tidak lagi mencukupi.

“Tindakan tegas dan liputan undang-undang khusus amat diperlukan bagi memelihara hakikat sejarah serta mempertahankan identiti pribumi daripada terus menjadi mangsa spekulasi dan naratif palsu.

“Negara perlu menggubal akta khusus memperuntukkan kesalahan sesiapa yang mempersoalkan asal usul orang Melayu.

“Negara kini diancam dengan fenomena ‘Melayu phobia’.

“Haramkan sesiapa sahaja atau pihak mana sekalipun yang mempersoal secara khusus asal usul pribumi Melayu di negara ini. Enough is enough,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap segelintir media dan portal berita tempatan yang dilihat terlalu ghairah melaporkan serta memberi ruang pandangan kepada naratif tidak tepat berhubung sejarah keberadaan orang Melayu di Malaysia.

“Tindakan menyebarkan paparan yang salah (misrepresentation) dan berita palsu berkenaan asal usul bangsa pribumi tidak wajar dilindungi atau dibiarkan atas alasan kebebasan bersuara, kebebasan akhbar mahupun kebebasan akademik.

“Apakah paparan sedemikian tidak tertakluk kepada kesalahan Berita Palsu atau pemalsuan fakta?

“Tiada negara di dunia yang mana warga negaranya menampilkan prasangka lalu menghina pribumi negara itu secara terbuka, kecuali di beberapa buah negara Barat dan di Asia.

“Di Malaysia, ia telah menjadi satu bentuk fobia di mana pribumi Melayu dinafikan hakikat asal usul mereka. Penghinaan dan ungkapan kebencian (hate speech) seperti ini tidak boleh diteruskan sama sekali,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Murad menegaskan kedudukan orang Melayu di Malaysia bukannya satu perkara yang boleh dipertikaikan sewenang-wenangnya kerana ia bersandarkan fakta geografi dan sejarah yang kukuh sejak azali.

“Orang Melayu di Malaysia adalah pribumi geografi dan sejarah Kepulauan Melayu sejak azali.

“Apa hak orang lain untuk mempersoalkan hakikat mutlak itu? Hentikan dakwaan-dakwaan palsu ini,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa dan pembuat dasar agar segera mengambil langkah proaktif meluluskan perundangan khusus demi menjaga keharmonian tanah air serta mempertahankan maruah warisan pribumi daripada terus dirobek.

Terdahulu, isu membabitkan identiti, hakikat sejarah serta kedudukan orang Melayu kini kembali hangat dan menjadi perdebatan panas dalam kalangan masyarakat berikutan kenyataan kontroversial Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini.

Kenyataan Muhammad Sanusi yang menyentuh sensitiviti perkauman dengan menyebut bahawa masyarakat lain seperti kaum Cina dan India mempunyai ‘negara asal’ masing-masing manakala orang Melayu hanya berbumbungkan Tanah Melayu telah mencetuskan polemik serta maklum balas berantai daripada pelbagai pihak. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI