KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) mencadangkan Akta Tabung Haji 1955 (Akta 535) dipinda bagi melarang ahli politik yang aktif daripada dilantik dan memegang jawatan sebagai pengerusi, ahli lembaga atau dalam anak syarikatnya.
Laporan yang diterbitkan semalam turut mengesyorkan peruntukan undang-undang yang menggariskan kriteria khusus yang perlu ada pada individu-individu yang layak dan boleh dipertimbangkan untuk dilantik sebagai anggota lembaga.
Turut dicadangkan dalam 25 syor RCI, pembatalan pelantikan anggota lembaga perlu dirujuk kepada jawatankuasa atau badan penasihat bebas yang ditubuhkan.
“Pindaan perlu dibuat ke atas Akta 535 bagi menambahbaik tadbir urus dan kawal selia Lembaga Tabung Haji (LTH),” demikian menurut laporan setebal 252 muka surat bertarikh 19 Julai 2022 yang didedahkan kepada umum semalam.
Laporan RCI Bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji (LTH) dari 2014 hingga 2020 itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.
Suruhanjaya itu selanjutnya mengesyorkan, pindaan akta dilakukan bagi membolehkan sebuah jabatan dinamakan `Dana Haji’ ditubuhkan untuk pelaburan LTH yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Selain itu, peruntukan undang-undang khusus perlu diwujudkan agar mana-mana individu yang layak dengan kepakaran yang diperlukan, dipertimbangkan untuk dilantik sebagai anggota lembaga.
Laporan RC seterusnya mencadangkan akta dipinda bagi menghadkan penglibatan anggota lembaga dan pengurusan LTH dan anak syarikatnya bagi mengelak konflik kepentingan. – MalaysiaGazette


