KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) giat mengambil alih semula aset daripada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang memberi nilai tambah pelaburan demi menjaga kepentingan para pendeposit.
Katanya, tahun ini, TH membeli semula tanah di TRX pada harga pasaran semasa sebanyak RM270 juta berbanding harga asal penjualan kepada UJSB sebanyak RM400 juta.
TH juga katanya membeli semula ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd pada harga RM695 juta berbanding harga penjualan asal RM800 juta.
UJSB adalah Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh Kerajaan yang membeli aset-aset rugi dan bermasalah TH bernilai RM9.7 bilion pada harga RM19.9 billion untuk menutup defisit yang dihadapinya dan membolehkan Agihan Keuntungan diisytihar bagi tahun 2018.
Transaksi tersebut dibiayai oleh dua siri sukuk terbitan UJSB yang diberi surat sokongan Kerajaan dengan kadar keuntungan 4.05 peratus dan 4.1 peratus setahun.
“Jika tiada tindakan “bailout” oleh Kerajaan pada masa itu, ia juga boleh menyebabkan krisis pasaran kewangan dan menggugat kestabilan negara apabila TH terpaksa menjual aset-aset pada harga terdesak di pasaran bagi memenuhi permohonan pengeluaran tunai yang besar dan tidak terkawal oleh pendeposit (deposit run) ketika TH gagal mengisytiharkan Agihan Keuntungan kepada pendepositnya,” katanya dalam satu kenyataan, awal pagi tadi.
Tambahnya, TH diberikan Right of First Refusal (Hak Keutamaan untuk Menolak) terhadap aset-aset yang dipindahkan jika UJSB bercadang untuk menjual aset tersebut ke pasaran.
Hak Keutamaan untuk menolak tidak meletakkan sebarang kewajipan kepada TH untuk membeli semula, jelasnya.
TH hanya memiliki keutamaan untuk membuat keputusan membeli sekiranya UJSB berhasrat untuk menjual aset tersebut pada masa hadapan tertakluk kepada penilaian komersil dan kesesuaian kepada kriteria pelaburan TH pada ketika itu.
Katanya lagi, sepanjang penerbitan sukuk, UJSB juga telah membuat beberapa tawaran untuk menjual aset-aset kepada TH, namun kesemuanya tidak memenuhi penilaian kriteria TH.
Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH berjaya menangani kerugian pelaburan RM12.6 Bilion iaitu RM10 Bilion Melalui Pelan Pemulihan 2018 dan RM2.6 Bilion secara berperingkat sehingga hujung 2025.
TH kekal komited untuk melindungi kepentingan para pendeposit, mengukuhkan kepercayaan awam, serta memastikan institusi ini terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.
Hasilnya, di bawah kepimpinan Pengerusi, Lembaga Pengarah serta pasukan pengurusan yang profesional dan berwibawa, TH kini berjaya kembali ke landasan yang lebih kukuh dan mampan melalui pelaksanaan pelan strategik, reformasi serta tadbir urus yang lebih baik, tanpa campur tangan Kerajaan.
Kadar Agihan Keuntungan diisytihar TH telah bertambah baik dan stabil dengan pulangan meningkat daripada 1.25 peratus bagi tahun 2018 kepada 3.25 peratus bagi tahun 2024 dan 3.50 peratus bagi tahun 2025.
Agihan Keuntungan tersebut dibuat setelah mengambil kira rosot nilai aset-aset bermasalah yang tidak dapat dipindahkan ke UJSB pada akhir tahun 2018 atas sebab- sebab tertentu berjumlah RM2.6 bilion. Kini kedudukan kewangan TH lebih kukuh dan TH juga telah mula membina semula rizab untuk masa depan yang lebih stabil. -MalaysiaGazette


