Pantomim ‘Operasi Subuh‘ kenang wira gugur dalam tragedi Al-Maunah

IPOH – Pementasan pantomim ‘Operasi Subuh’ yang mengisahkan kejayaan pasukan keselamatan menumpaskan kumpulan Al-Maunah pada 6 Julai 2000 antara pengisian istimewa Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Persembahan yang sarat dengan elemen patriotisme itu dipersembah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Turut menyaksikan pementasan tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pantomim itu dipersembahkan bagi memberi penghormatan kepada wira-wira negara yang mempertahankan kedaulatan tanah air, selain mengangkat kisah sebenar tragedi yang meragut nyawa dua anggota pasukan keselamatan ketika operasi berkenaan.

Keunikan pementasan tersebut terserlah menerusi penglibatan kedua-dua agensi keselamatan utama negara, iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus menzahirkan semangat kerjasama erat antara kedua-dua pasukan dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

Seramai 53 pegawai dan anggota daripada Markas 2 Briged, Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja, Pasukan 69 Komando (VAT 69) serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menjayakan pementasan berkenaan di bawah pimpinan Mejar Mohd Helmi Shamsuddin.

Pementasan itu menggambarkan kesinambungan operasi antara PDRM dan ATM, bermula dengan tindakan polis mengendalikan situasi mengikut bidang kuasa sebelum disusuli pengambilalihan operasi oleh pihak tentera apabila keadaan memerlukan.

Pendekatan itu memperlihatkan setiap agensi memainkan peranan masing-masing secara tersusun dan saling melengkapi dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan.

Pantomim ‘Operasi Subuh‘ kenang wira gugur dalam tragedi Al-Maunah
Persembahan pantomim bertajuk, ‘Operasi Subuh’ pada Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak 2026 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 31 JULAI 2026

Persembahan itu turut diiringi deklamasi sajak bertajuk ‘Jenalik Berdarah’ yang disampaikan Koperal Mohamad Fazreen Jamaludin daripada Rejimen Kesembilan Renjer Diraja.

Operasi Subuh mengisahkan pertempuran antara pasukan keselamatan negara dengan kumpulan militan Islam yang menggelarkan diri mereka sebagai Al-Maunah yang merancang untuk menggulingkan kerajaan Malaysia di Bukit Jenalik, Sauk, Kuala Kangsar pada Julai 2000.

Pada 2 Julai 2000, kumpulan tersebut menyamar dengan pakaian dan pangkat pegawai kanan tentera sebelum menceroboh Kem Kuala Rhui serta Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Gerik dan melarikan pelbagai senjata api serta sejumlah besar peluru.

Bagaimanapun, pada 6 Julai 2000, Ketua kumpulan militan Al-Maunah, Mohamed Amin Mohamed Razali bersama ahli kumpulannya telah diberkas dan kejayaan itu sekali gus menamatkan krisis tersebut dan juga operasi empat hari pasukan polis dan tentera di bukit itu.

Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said dan Abd Razak Mohd Yusof dan bekas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff antara yang memainkan peranan penting dalam menumpaskan kumpulan militan itu.

Tragedi itu turut meragut nyawa Detektif Koperal R Sanghadevan, anggota komando Grup Gerak Khas ATM Truper Mathew Medan

Mohamed Amin telah disabitkan kesalahan atas peranannya dalam insiden tersebut dan dijatuhi hukuman mati pada Ogos 2006. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berkenan berangkat ke sambutan Hari Pahlawan 2026

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI