LUMUT – Barisan Nasional (BN) tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian rasmi kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bagaimanapun, perjanjian itu hanya terpakai di peringkat Persekutuan yang mana BN kekal bebas untuk menentukan bentuk kerjasama politiknya di peringkat negeri.
“Kita telah menandatangani perjanjian bahawa BN bersama Kerajaan Perpaduan ini sehingga akhir penggal dan kita tidak bercadang untuk melanggar perjanjian itu.
“BN tidak pernah mengikat perjanjian dan menandatangani perjanjian untuk peringkat negeri.
“Kita tidak ada janji di Johor tidak ada tanda tangan sebab itu Johor kita pergi solo (pada Pilihan Raya Negeri (PRN)).
“Kita juga tidak ada janji bersama Kerajaan Perpaduan di (PRN) Negeri Sembilan sebab itu kita bersama Perikatan Nasional (PN) dan kita tidak ada perjanjian dengan kerajaan negeri di Melaka.
“Itu sebab kemungkinan besar di (PRN) Melaka kita juga bergerak sebagaimana kita bergerak di Negeri Sembilan,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan bangunan prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Samudera, Manjung di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, formula kerjasama antara BN dan PN yang disifatkan berjaya pada PRN Negeri Sembilan berkemungkinan akan dijadikan model bagi menghadapi PRN Melaka.
Ketua Sekretariat War Room UMNO itu turut menyokong pandangan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kemungkinan penggunaan formula tersebut selepas menunjukkan hasil yang positif di Negeri Sembilan.
“Saya menyokong pandangan beliau (Ahmad Zahid) apabila telah berjaya di Negeri Sembilan maka formula BN-PN ini digunakan, kerjasama BN-PN ini kemungkinan besar digunakan di Melaka,“ ujarnya.
Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 kelmarin, BN berjaya memenangi 18 kerusi, PH memperoleh 11 kerusi, manakala PN memenangi tujuh kerusi. – MGPerak
Artikel Berkata:
Kemenangan BN di Negeri Sembilan cetus isyarat baharu, tidak tolak kerjasama dengan PN diteruskan


