IPOH – Polis menahan lima individu susulan kematian seorang penghuni lelaki di sebuah rumah jagaan di Tanjung Rambutan, di sini, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pegawai kesihatan di Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan berhubung kejadian itu sekitar jam 2 petang.
Menurutnya, sepasukan polis digerakkan ke lokasi sebelum pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa lelaki berusia 54 tahun itu.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, setakat ini lima individu telah ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada seorang penjaga dan empat penghuni rumah jagaan berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta peranan setiap individu yang ditahan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh mengganggu proses siasatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


