Atlet Perak raih emas SUKMA 2026 bakal terima RM6,000

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menawar insentif kemenangan RM6,000 kepada atlet yang berjaya meraih pingat emas acara individu dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri turut menawarkan RM3,000 bagi pemenang pingat perak dan RM1,500 bagi pemenang gangsa kategori individu.

Menurut beliau, bagi acara berpasukan yang melibatkan dua hingga tiga atlet, kadar insentif ditetapkan sebanyak RM4,000 bagi pingat emas, RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa).

“Manakala bagi acara berpasukan yang melibatkan empat atlet dan ke atas, insentif yang ditawarkan ialah RM2,500 bagi emas, RM1,500 bagi perak dan RM750 bagi gangsa.

“Atlet yang berjaya memecahkan rekod pula akan menerima ganjaran tambahan sebanyak RM1,000 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasa mereka,” katanya.

Atlet Perak raih emas SUKMA 2026 bakal terima RM6,000
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak “Belang Tarung Tiga Warna” Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 OGOS 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak Belang Tarung Tiga Warna Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Rabu.

Tambahnya, pemberian insentif itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menghargai pengorbanan dan usaha atlet serta semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan kontinjen Perak.

“Insentif ini merupakan penghargaan kepada kejayaan atlet dan mereka yang membentuk kejayaan tersebut. Namun, nilai yang paling besar tetap terletak pada penghormatan membawa nama negeri dan melihat hasil daripada segala usaha yang telah diberikan,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran emas Kontinjen SUKMA, Saarani berkata misi ‘Silver to Gold’ diteruskan dengan 50 pingat emas, manakala Kontinjen Para SUKMA 25 pingat emas dengan matlamat meletakkan kedua-dua kontinjen dalam kelompok lima terbaik.

Suasana sekitar Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak “Belang Tarung Tiga Warna” Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 OGOS 2026.

“Adakah sasaran itu mudah? Sudah tentu tidak. Adakah ia mencabar? Sudah pasti! Mampukah Kontinjen Perak mencapainya? Saya percaya, kita mampu!

“Bagi Kontinjen SUKMA 2026, sasaran 50 emas akan membawa kita melepasi catatan terbaik Perak, iaitu 49 pingat emas yang diraih pada SUKMA Sabah 2002. Sudah 24 tahun rekod itu bertahan. Tahun ini, ayuh kita leburkan rekod itu!

“Kontinjen Para SUKMA pula membawa sasaran 25 emas dan kedudukan dalam kelompok lima terbaik. Ini juga sasaran yang tinggi, tetapi saya percaya atlet Para Perak mempunyai semangat dan kemampuan untuk menunaikannya,” katanya.

Seramai 790 atlet SUKMA dan 112 atlet Para SUKMA bakal mewakili Perak dalam 468 acara membabitkan 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan tersebut. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI