Komanwel 2026: Izzat Shameer, Aleena bakal terima insentif Kerajaan Perak

IPOH – Kerajaan negeri akan menyalurkan insentif kemenangan kepada dua atlet kelahiran Perak yang memperoleh tempat kedua dalam acara boling padang pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow Scotland.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, dua atlet berkenaan adalah Muhammad Izzat Shameer yang meraih perak perseorangan lelaki dan Aleena Ahmad Nawawi meraih pingat sama bagi beregu wanita.

Menurutnya, kadar insentif berkenaan telah ditetapkan serta diluluskan menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak mengikut kategori dan tahap kejohanan.

“Setiap atlet negeri Perak yang berjaya mencapai ataupun mendapat pingat, tidak kira emas, perak atau gangsa dalam sukan bertaraf antarabangsa seperti Sukan SEA, Komanwel, Olimpik dan sebagainya memang ada insentif yang akan kita tetapkan mengikut kadar yang telah diluluskan oleh mesyuarat MMK.

“Selalunya memang kita akan beri insentif itu,” jawabnya ringkas pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak Belang Tarung Tiga Warna Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Rabu.

Hadir sama merasmikan majlis berkenaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Mengulas lanjut Khairudin berkata, penyampaian insentif kepada kedua-dua atlet yang mengharumkan nama negara berkenaan dijangka diadakan serentak dengan majlis penghargaan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Jaguh perseorangan lelaki negara, Izzat Shameer mencipta sejarah apabila menjadi atlet Malaysia pertama memenangi pingat acara perseorangan lelaki boling padang pada Sukan Komanwel selepas meraih perak di Glasgow 2026.

Pada aksi penentuan pingat emas di Scottish Event Campus di sini, Izzat Shameer tewas 2-0 kepada jaguh England, Sam Tolchard.

Sementara itu, beregu negara Aleena dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman mencipta kejayaan apabila menamatkan saingan di tempat kedua selepas tewas kepada pasangan England, Amy Pharaoh dan Sian Honnor 0.5-1.5 pada aksi final. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI