‘Tiada politiking’, PRN Johor dan N9 tidak gugat Kerajaan Perpaduan – Zahid

PUTRAJAYA – Sebarang perkembangan politik susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak akan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan yang akan terus mentadbir negara sehingga Parlimen dibubarkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sedia ada yang berasaskan persefahaman dan antara parti-parti komponen akan berjalan seperti biasa tanpa dipengaruhi pertandingan politik di peringkat negeri.

“Ramai mengikuti perkembangan politik negara dan mungkin tertanya-tanya sama ada ia akan menjejaskan kedudukan Kerajaan Perpaduan, mengubah hala tuju kementerian atau memberi kesan kepada dasar serta projek yang sedang dilaksanakan.

“Percayalah… apa juga persoalannya, pertandingan politik di peringkat negeri tidak menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Kerajaan Perpaduan hari ini dibentuk berasaskan suatu persefahaman dan perjanjian yang jelas untuk ia kekal sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, selagi tiada pembubaran Parlimen berlaku, Kerajaan Persekutuan akan terus berfungsi, pentadbiran diteruskan dan setiap amanah kepada rakyat akan dilaksanakan seperti biasa.

Menurut beliau, situasi politik semasa merupakan realiti sebuah negara demokrasi dan tidak menjadi kesalahan untuk penjawat awam mengambil tahu serta memahami perkembangan politik semasa, asalkan tidak terlibat dalam politik kepartian.

“Penjawat awam perlu mempunyai kepekaan politik bagi memahami mandat kerajaan, namun pada masa sama mesti kekal profesional dan tidak dipolitikkan.

“You have to be politically sensitive, but you should never become politicised,” katanya.

Beliau menjelaskan hubungan antara politik dan pentadbiran awam perlu difahami dengan jelas, iaitu politik menentukan mandat dan hala tuju kerajaan.

“Manakala pentadbiran bertanggungjawab menterjemahkannya kepada dasar, program dan hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kepekaan politik membantu kita memahami mandat kerajaan, manakala profesionalisme memastikan setiap tugas dilaksanakan secara berintegriti dan tanpa memihak,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyentuh mengenai konsep autonomi politik dalam kerajaan gabungan dengan menjelaskan kerjasama dalam kerajaan tidak bermaksud setiap parti perlu mengorbankan identiti dan strategi politik masing-masing.

Beliau memberi contoh Australia, apabila Parti Liberal dan Parti Nasional bekerjasama membentuk kerajaan Persekutuan tetapi dalam keadaan tertentu tetap bertanding sesama sendiri di kawasan tertentu.

Katanya, situasi sama turut berlaku di Jepun apabila Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Komeito membentuk kerajaan di peringkat nasional, namun masih mempunyai pendekatan politik berbeza di peringkat wilayah.

“Kerjasama dalam kerajaan tidak semestinya meleburkan semua parti menjadi satu. Setiap parti masih mempunyai autonomi politik selagi komitmen dalam perjanjian pembentukan kerajaan terus dihormati,” katanya.

Beliau menegaskan, selepas kerajaan dibentuk, keutamaan mesti diberikan kepada tanggungjawab pentadbiran dan bukannya pertikaian politik.

“Urusan kerajaan tidak boleh terhenti hanya kerana suhu politik meningkat.

“We have to get this concept clear. Apa juga dinamika politik yang berlaku, peranan penjawat awam tidak boleh diganggu-gugat.

“Penjawat awam ialah tiang seri kesinambungan negara.

“Tanggungjawab mereka memastikan kerajaan terus berfungsi, dasar dilaksanakan, projek bergerak dan perkhidmatan sampai kepada rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa menteri dan kerajaan boleh bertukar, namun institusi negara mesti terus kukuh demi menjaga kepentingan rakyat.

“Menteri boleh datang dan pergi. Kerajaan boleh berubah. Namun institusi mesti kekal kukuh, dasar yang baik mesti diteruskan dan kepentingan rakyat mesti sentiasa dipertahankan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI