IPOH – Bandar Raya Ipoh mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan berasaskan kepada makanan atau gastronomi setanding dengan negeri lain seperti Pulau Pinang.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kepelbagaian makanan yang menjadi identiti di samping mudah untuk didapati pengunjung menjadi antara tarikan utama di bandar raya itu.
Katanya, keistimewaan itu bukan sahaja mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong, malah ia juga boleh dijadikan sebagai produk pelancongan yang menggabungkan elemen sejarah, warisan dan perpaduan.

“Kepelbagaian makanan yang termasuk hidangan yang sinonim dengan bandar raya ini seperti ayam taugeh, kopi putih dan laksa boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan.
“Makanan juga memainkan peranan yang penting untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum selaras dengan slogan kita, ‘Malaysia Truly Asia’, sebab itu kita rasa Ipoh berpotensi sangat besar
“Kita mahu memastikan Ipoh menjadi syurga makanan Malaysia, setanding dengan Pulau Pinang dan negeri-negeri lain, kerana makanan Ipoh memang terkenal dengan pelbagai makanan yang menarik dan enak untuk dirasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media Karnival Makanan Jom Makan Ipoh 2026 di Pusat Perniagaan Komersial Palo 101, di sini, pada Ahad.

Menurut Kor Ming, usaha memperkukuh sektor gastronomi juga mampu memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor di Ipoh termasuk restoran, perniagaan makanan dan minuman, hotel, kedai cenderamata serta pengangkutan pelancongan.
“Apabila ramai pelancong datang, sudah tentunya sektor makanan dan minuman, restoran, kedai yang menjual cenderamata, hotel dan logistik termasuk bas pelancongan akan mendapat manfaat, sekali gus merancakkan ekonomi setempat,” ujarnya
Mengulas tentang program, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung pada karnival yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 28 Ogos.

Menurut Kor Ming, karnival makanan yang akan berlangsung di Palo 101 itu bukan sekadar acara berasaskan makanan, malah ia merupakan platform yang menggabungkan emelen pemeliharaan warisan kulinari, pendidikan, penjenamaan bandar dan promosi pelancongan.
Beliau berkata, acara yang turut dianjurkan bersempena dengan Bulan Kebangsaan itu akan memperkenalkan peta makanan bagi membolehkan pelancong dan pengunjung meneroka pelbagai lokasi makanan di sekitar Bandar Raya Ipoh mengikut jejak yang disediakan.
“Pengunjung hanya perlu mengimbas kod QR yang disediakan untuk mendapatkan enam peta makanan dan daripada situ mereka boleh mengikuti jejak makanan dari satu kafe ke kafe lain atau dari satu restoran ke restoran yang lain,” katanya lagi.
Tambah Kor Ming, sepanjang festival berlangsung, lebih daripada 50 vendor gerai makanan dan produk pertanian akan mengambil bahagian dengan menampilkan 12 hidangan istimewa termasuk makanan jalanan, serta pelbagai produk makanan lain.

Ujar beliau, pelbagai program sampingan turut akan diadakan pada karnival berkenaan seperti aktiviti interaktif ‘Lukiskan Rasa Ipoh’, persembahan kebudayaan pelbagai kaum, sesi perkongsian ‘Food Talks Ipoh dan sebagainya.
“Bagi memperkenalkan sejarah serta evolusi budaya makanan tempatan, festival ini turut menampilkan enam Galeri Budaya Makanan Ipoh,
“Ia akan memfokuskan kepada Kopi Putih Ipoh, budaya makanan era perlombongan bijih timah, Kacang Putih, Sambal dan Ulam serta pelbagai warisan kulinari lain yang sinonim dengan bandar raya ini,” jelasnya.
Karnival Makanan Jom Makan Ipoh dianjurkan Pejabat Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak serta Pusat Khidmat ADUN Kepayang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Masakan tradisi Perak berasaskan tempoyak diangkat jadi tarikan gastronomi


