MMW2026 perkukuh Malaysia sebagai hab maritim serantau

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 peserta dijangka menyertai Malaysia Maritime Week 2026 (MMW2026) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dari 28 September hingga 2 Oktober ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, penganjuran itu akan menjadi platform diplomasi ekonomi dan maritim negara bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara kerajaan, industri dan organisasi antarabangsa dalam menangani cabaran serta merebut peluang baharu sektor maritim global.

“Penganjuran MMW2026 dijangka menjadi edisi paling komprehensif sejak ia diperkenalkan pada tahun 2014 menerusi pendekatan yang menggabungkan program utama di KLCC serta beberapa program satelit yang dilaksanakan secara serentak.

“Pendekatan ini akan memperluas penyertaan dan kerjasama dalam kalangan kerajaan, industri, institusi kewangan, akademia serta generasi pelapis sektor maritim, sekali gus memperkukuh keseluruhan ekosistem maritim negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, MMW2026 dianjurkan dengan kerjasama strategik Malaysia International Shipping Corporation (MISC) dan Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA), dengan tema “From Ambition to Action: Powering Maritime Excellence”.

Jelasnya, tema berkenaan mencerminkan komitmen Malaysia untuk menterjemahkan aspirasi dan dasar pembangunan maritim kepada tindakan menerusi pengukuhan kerjasama strategik, pemerkasaan inovasi serta pembangunan sektor maritim yang mampan, berdaya tahan dan berdaya saing.

Katanya lagi, program itu akan menghimpunkan menteri, pembuat dasar, pengawal selia, organisasi antarabangsa, institusi kewangan, syarikat perkapalan, pengendali pelabuhan, akademia, persatuan industri dan profesional maritim dari dalam serta luar negara.

Selain itu, tambah MOT, program berkenaan menyokong penglibatan aktif Malaysia dalam agenda International Maritime Organization (IMO) serta usaha memperkukuh kedudukan negara sebagai negara maritim yang progresif dan hab maritim serta logistik yang berdaya saing di rantau Asia Pasifik.

Sepanjang lima hari penganjuran, MMW2026 akan menampilkan beberapa program utama termasuk Strategic Roundtable Forum, Maritime Financing Engagement, Majlis Perasmian, Opening Plenary dan Leadership Dialogue.

Empat trek persidangan turut diadakan meliputi Decarbonisation, Port and Logistics, Safety and Security serta Education and Talent.

Turut dijadualkan ialah ALAM Maritime Open Day, Malaysia Maritime Icon Award dan Pameran Industri yang dijangka menampilkan sehingga 80 reruai daripada agensi kerajaan, syarikat swasta serta pemain industri maritim tempatan dan antarabangsa.

Ujar MOT, Malaysia turut menyasarkan MMW2026 untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa, merangsang pelaburan baharu, mempercepat agenda penyahkarbonan dan pendigitalan sektor maritim serta memperkukuh pembangunan modal insan.

Sementara itu, katanya, maklumat lanjut mengenai atur cara persidangan, pendaftaran peserta, senarai penceramah dan perkembangan terkini MMW2026 akan diumumkan MOT dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kementerian. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI