Cubaan seludup 34 PATI Indonesia melalui laut gagal

LUMUT – Cubaan 34 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia memasuki Malaysia secara haram melalui laluan laut di Pantai Teluk Frigi, di sini gagal selepas ditahan pihak berkuasa pada Ahad.

Kesemua mereka yang menaiki bot ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi bersepadu di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Perak.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi yang bermula pada 8 Ogos itu membabitkan dua aset Maritim Malaysia iaitu KM Nusa dan Bot Penggalang 1639 bagi melaksanakan rondaan, pengesanan serta pemintasan terhadap bot yang disyaki membawa PATI.

Menurut beliau, pada jam 4.20 pagi, Bot Penggalang 1639 mengesan sebuah bot dipercayai dari Indonesia bergerak dalam keadaan gelap menuju ke Pantai Teluk Frigi.

“Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot tersebut bertindak memecut laju menuju ke arah pantai sebelum merapat di kawasan berkenaan.

“Tim Darat PGA yang berada di lokasi kemudiannya bertindak pantas dan berjaya menahan 34 orang PATI pada jam 5.00 pagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, kesemua yang ditahan terdiri daripada 22 lelaki dan 12 perempuan dan telah diserahkan kepada pihak PGA untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Kejayaan operasi ini membuktikan keberkesanan kerjasama dan tindakan bersepadu antara Maritim Malaysia dan PGA dalam mengekang cubaan kemasukan PATI serta aktiviti rentas sempadan melalui laluan laut.

“Maritim Malaysia sentiasa komited memperkukuh penguatkuasaan dan pemantauan di perairan negara bagi mengekang sebarang aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang, termasuk penyeludupan migran dan kemasukan PATI melalui laluan laut,” katanya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI