KUALA LUMPUR – Dakwaan ada pihak sedang membawa agenda yang menyambung kerja penjajah serta menghakis kedudukan Islam dan Melayu perlu dinilai berdasarkan fakta dan tindakan yang berlaku.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, hakikatnya di bawah Kerajaan Madani, peruntukan bagi hal ehwal Islam meningkat daripada RM1.9 bilion pada 2024 dan RM2 bilion pada tahun lalu kepada RM2.6 bilion tahun ini.
Menurutnya, peningkatan itu merangkumi pelbagai keperluan pembangunan Islam termasuk pendidikan, institusi agama, masjid dan pembangunan insan.
“Dalam soal tatakelola pula, kesungguhan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, Dr. Zulkifli Hasan meneliti dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha menjaga amanah umat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, perbezaan pandangan mengenai kedudukan Islam dan masa depan bangsa Malaysia perlu dibincangkan secara matang dan berasaskan fakta, khususnya apabila ada pihak menggambarkan seolah-olah Islam sedang diketepikan dalam pembangunan negara.
Ujarnya, Yadim berpandangan persoalan besar pembangunan Islam tidak wajar disimpulkan hanya berdasarkan percaturan kuasa atau siapa yang berada dalam sesuatu gabungan.
“Ada pihak melihat pembangunan Islam melalui kaca mata politik. Yadim mengajak masyarakat melihatnya melalui kerja dan pembangunan yang telah dilaksanakan,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, Yadim menyeru agar perbezaan pandangan tidak menjadi ruang untuk menyerang peribadi, menabur fitnah atau memburukkan pihak yang berbeza pendirian.
“Jika ada perkara yang mahu dipersoalkan, bawalah dengan fakta dan hujah.
“Jangan sampai perbezaan pandangan akhirnya menimbulkan perpecahan dan saling mencurigai dalam masyarakat,” katanya.
Tambahnya, amat jelas, syiar Islam terus subur dan berkembang di Malaysia, malah perkembangannya dapat disaksikan di peringkat antarabangsa.
Contohnya, ujar beliau, penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa serta program Sama’ Hadis yang menghimpunkan ulama, ilmuwan dan peserta dari pelbagai negara merupakan antara contoh usaha mengangkat ilmu dan syiar Islam dari Malaysia ke peringkat dunia.
Terdahulu, Abdul Hadi menerusi Minda Presiden PAS bertajuk ‘DAP Memimpin PH Menyambung Kerja Penjajah Hapuskan Melayu Islam’ mendakwa DAP yang mendominasi PH sedang meneruskan agenda penjajah bagi melemahkan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, agenda berkenaan dilaksanakan melalui pendekatan politik, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran yang menurutnya berakar daripada sistem peninggalan penjajahan. – MalaysiaGazette


