TELUK INTAN – Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah rumah di Langkap, di sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa seorang warga emas berusia 69 tahun pada 3 Ogos lalu yang mendakwa disamun seorang lelaki tidak dikenali.
Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira jam 4.00 pagi, suspek yang bersenjatakan parang dipercayai telah merampas seutas gelang tangan emas yang dipakai mangsa.
“Dalam kejadian berkenaan mangsa mengalami kecederaan dan kerugian dianggarkan berjumlah kira-kira RM6,000.
“Susulan laporan tersebut, siasatan dan risikan lanjut berjaya menahan seorang lelaki pada 11 ogos 2026 kira-kira jam 2.30 pagi di Slim River,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kok Lian berkata, polis turut berjaya menemui dan merampas semula seutas gelang tangan emas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan untuk tindakan siasatan lanjut.
Katanya lagi,suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 Ogos bagi membantu polis melengkapkan siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan ketika melakukan rompakan dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
“Orang ramai juga dinasihatkan memastikan pintu, tingkap dan laluan masuk dikunci dengan sempurna serta mengelakkan menyimpan wang tunai atau barangan berharga dalam jumlah yang besar di rumah,” katanya.


