IPOH – Lima anak Perak yang juga penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terpilih mengikuti pengajian selama setahun di Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan bermula September ini.
Peluang itu direalisasikan menerusi kerjasama Yayasan Perak dan UMPSA bagi pelaksanaan Program Ijazah Dual UMPSA-KazNARU.
Yayasan Perak dalm satu kenyataan berkata, kerjasama berkenaan dimeterai menerusi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) yang disaksikan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.
Katanya, lima pelajar terbabit berpeluang memperoleh dua ijazah yang dianugerahkan oleh kedua-dua universiti, selain menimba pengalaman akademik dan penyelidikan dalam persekitaran antarabangsa.
“Usaha itu turut mendukung aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 serta hala tuju kerajaan negeri dalam memperkukuh keterjaminan makanan secara mampan menerusi pembangunan bakat berkemahiran tinggi dalam sektor agromakanan.
“Kerajaan negeri melihat pembangunan sektor berkenaan bukan hanya bergantung kepada peningkatan hasil pertanian, sebaliknya memerlukan kepakaran dalam penyelidikan, teknologi dan bioteknologi bagi menghasilkan penyelesaian baharu dalam sektor agroekonomi dan agroindustri,” katanya.
Tambah Yayasan Perak, penajaan lima anak Perak berkenaan dilihat sebagai pelaburan strategik dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan negeri.
“Ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang pengajian di Kazakhstan diharap dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh sektor agroekonomi dan agroindustri Perak pada masa depan.
“Lima penerima tajaan itu dipilih berdasarkan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) minimum 3.00 selepas melalui proses saringan dan temu duga bersama Yayasan Perak dan UMPSA serta keutamaan yang diberikan kepada pelajar daripada keluarga B40,” katanya.
Yayasan Perak berkata, sebanyak RM198,380 diperuntukkan bagi membiayai kelima-lima pelajar berkenaan menerusi pembiayaan secara bersama Yayasan Perak dan UMPSA dengan masing-masing menyumbang RM99,190.
Katanya, Pembiayaan berkenaan merangkumi yuran pengajian, elaun sara hidup, tiket penerbangan serta visa pelajar sepanjang tempoh setahun pengajian di Kazakhstan. -MG Perak


