Lebih 2,700 pelari dari 63 negara sertai Malaysia Ultra-Trail by UTMB

TAIPING – Lebih 2,700 pelari dari 63 negara telah mendaftar untuk menyertai Malaysia Ultra-Trail by UTMB yang bakal berlangsung di Taiping dari 10 hingga 13 September depan.

Daripada jumlah itu, lebih 1,000 peserta merupakan pelari antarabangsa, sekali gus menjadikan edisi ketiga acara berkenaan sebagai antara penyertaan terbesar sejak ia diperkenalkan.

Pengarah Perlumbaan Malaysia Ultra-Trail by UTMB, Ewegene Tan berkata, sambutan antarabangsa terhadap acara itu membuktikan pertumbuhannya sejak mula dianjurkan sebagai Malaysian Mountain Trail Festival pada 2018 sebelum berkembang menjadi acara UTMB World Series pada 2024.

“Apabila kita bermula, matlamat bukan sekadar menganjurkan satu lagi perlumbaan denai tetapi kita mahu membawa acara antarabangsa ke Malaysia yang menghubungkan pelari tempatan dengan dunia larian denai, selain mengetengahkan Taiping dan Malaysia.

“Melihat pelari dari 63 negara sudah mendaftar amat menggalakkan. Lebih penting, pendaftaran masih dibuka dan kita menjangkakan jumlah serta kepelbagaian peserta akan terus meningkat menjelang September,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, peserta bukan sahaja hadir untuk bertanding, malah berpeluang meneroka hutan hujan, denai, warisan dan keunikan bandar Taiping.

Selain aspek sukan, penganjuran acara itu turut memberi penekanan terhadap pemuliharaan alam sekitar menerusi inisiatif selaras dengan ‘UTMB for the Planet’.

Katanya, antara langkah dilaksanakan termasuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, pengasingan sisa dan penanaman semula pokok.

“Lebih 5,500 pokok telah ditanam semula di sekitar Bukit Larut dan Taman Tasik Taiping sejak 2022, manakala inisiatif RIMBA UTMB turut memberi peluang kepada pelari menyumbang kepada usaha pemulihan dan penanaman semula hutan.

“Dalam pada itu, penganjuran Malaysia Ultra-Trail by UTMB turut memberi impak kepada ekonomi setempat dengan menjana lebih RM20 juta sumbangan sosioekonomi setiap tahun menerusi sektor pelancongan sukan,” katanya.

Ewegene berkata, kejayaan acara itu bukan hanya diukur berdasarkan jumlah peserta yang melepasi garisan permulaan, sebaliknya turut mengambil kira manfaat kepada komuniti, perniagaan dan alam sekitar Taiping.

“Kita mahu acara ini meninggalkan sesuatu untuk Taiping, termasuk kepada perniagaan, komuniti dan alam sekitarnya,” katanya.

Berpusat di Dataran Warisan Taiping, Malaysia Ultra-Trail by UTMB merupakan satu-satunya acara UTMB World Series di Malaysia dan sebahagian daripada kalendar 2026 UTMB World Series yang merangkumi 64 acara di 23 negara di Asia, Oceania, Afrika, Eropah dan benua Amerika.

Malaysia Ultra-Trail by UTMB menawarkan lima kategori iaitu MY100, MY50, MY25, MY13 dan MYKIDS bagi memenuhi penyertaan pelari daripada pelbagai peringkat umur dan kemampuan. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI