IPOH – Perak masih merekodkan kadar penduduk berusia 65 tahun ke atas tertinggi di Malaysia dengan 10.2 peratus atau kira-kira 267,600 orang daripada keseluruhan 2.6 juta penduduk negeri itu pada 2025.
Timbalan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Juwairiya Zulkifli berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan penuaan penduduk di Perak bukan lagi sekadar jangkaan masa depan, sebaliknya realiti yang sedang berlaku dan memerlukan pengurusan menyeluruh.
Katanya, daerah Kampar mencatat kadar penduduk berusia 65 tahun ke atas lebih tinggi iaitu 12.6 peratus pada 2025, sekali gus menjadikannya daerah antara daerah dengan kadar penuaan penduduk tertinggi di negara ini.
Jelas beliau, kadar tersebut turut mengatasi negeri lain yang mempunyai peratusan penduduk warga emas tinggi seperti Kedah sebanyak 9.4 peratus dan Sarawak 9.1 peratus, manakala kadar purata nasional adalah sekitar lapan peratus.

“Perubahan ini dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk penurunan kadar kelahiran, peningkatan jangka hayat, saiz keluarga yang semakin kecil serta penghijrahan golongan muda ke negeri lain bagi mendapatkan peluang pendidikan dan pekerjaan.
“Selain itu, wujud senario di mana individu yang telah tamat perkhidmatan dari alam pekerjaan di bandar membuat keputusan untuk pulang menghabiskan baki usia persaraan di kampung halaman mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Seminar Kependudukan Negeri Perak sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia tahun 2026 di Tower Regency Hotel and Suite, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah LPPKN Perak, Chai Cheng Ho@Dennis Chai serta Timbalan Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Perak, Mohd Syariff Abdul Wahab.
Seminar berkenaan mengangkat tema ‘Penuaan Bermaruah: Komuniti Prihatin, Warga Emas Terjamin’.
Juwairiya berkata, sekiranya perubahan demografi itu tidak diurus dengan baik, Perak berdepan risiko pengecilan tenaga kerja, peningkatan nisbah tanggungan, kekurangan penjaga terlatih serta peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan dan penjagaan jangka panjang.
Bagaimanapun kata beliau, perkembangan penuaan penduduk tidak wajar dilihat sebagai beban semata-mata kerana warga emas mempunyai pengalaman, kemahiran dan pengetahuan yang boleh terus dimanfaatkan dalam masyarakat.
“Dengan persekitaran yang sesuai, warga emas boleh kekal aktif sebagai tenaga kerja, usahawan, mentor, sukarelawan dan sumber rujukan kepada generasi muda,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan ekonomi penjagaan atau ‘care economy’ juga perlu diberi perhatian kerana peningkatan keperluan penjagaan boleh mewujudkan peluang pekerjaan dalam bidang penjagaan profesional, kesihatan komuniti, rehabilitasi, teknologi bantuan dan perkhidmatan sokongan keluarga.
Menurut Juwairiya, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh agenda kesejahteraan warga emas melalui Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara.
“Tumpuan diberikan kepada enam bidang utama, termasuk perlindungan dan keselamatan, kesihatan, pembelajaran sepanjang hayat, penglibatan sosial, ekonomi serta pembangunan persekitaran yang menyokong kehidupan warga emas secara aktif dan bermaruah.
“Antara inisiatif yang sedang diperkasakan ialah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) sebagai pusat interaksi sosial dan aktiviti komuniti, Bantuan Warga Emas serta penyediaan kerangka perundangan bagi memperkukuh perlindungan hak dan kebajikan warga emas,” jelasnya.
Dalam pada itu, Juwairiya berkata, pendekatan komuniti mesra warga emas perlu diperluaskan ke lebih banyak daerah dengan mengambil kira aspek perancangan bandar, pengangkutan, perumahan, kemudahan kesihatan, ruang rekreasi serta perkhidmatan digital.
Jelas beliau, Taiping antara bandar di Perak yang telah menerapkan pendekatan bandar mesra usia melalui penyediaan kemudahan awam dan persekitaran yang lebih mudah diakses golongan warga emas.
Mengulas tentang seminar, beliau memberitahu, empat kertas pembentangan ditampilkan termasuk sesi dialog itu merupakan kesinambungan kepada penganjuran seminar sama pada tahun lalu.
“Dapatan dan cadangan yang dikemukakan perlu dirumuskan secara tersusun serta disalurkan kepada kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk pertimbangan serta tindakan susulan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pusat jagaan warga emas perlu piawaian seragam seluruh negara


