IPOH – Program Komuniti ke Arah Penuaan Sihat dan Bermaruah ‘Golden Years, Greater Lives’ anjuran Klinik Kesihatan (KK) Buntong, di sini hari ini, memberi penekanan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan warga emas seiring peningkatan populasi golongan berkenaan di Perak.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan berkata, program berkenaan selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang antara teras utamanya adalah kesejahteraan rakyat, dengan kesihatan menjadi antara komponen penting.
Menurutnya, kempen kesihatan itu membawa mesej penting bahawa penuaan adalah sebahagian daripada proses semula jadi kehidupan.
“Matlamat kita mestilah untuk membolehkan warga emas kita kekal sihat, aktif, berdikari, terus berhubung secara sosial dan dihormati dalam komuniti mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Komuniti ke Arah Penuaan Sihat dan Bermaruah ‘Golden Years, Greater Lives’ di KK Buntong, di sini hari ini.
Hadir sama, Perunding Perubatan Keluarga KK Buntong, Dr A Subashini dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, M Thulsi.
Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan berkata, Perak antara negeri yang mempunyai kadar warga emas tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 14 peratus.

“The National Health and Morbidity Survey 2023 menunjukkan bahawa 43.2 peratus warga emas di Malaysia didapati tidak aktif secara fizikal, terutamanya dalam kalangan mereka yang mempunyai penyakit kronik, masalah fungsi dan pendapatan rendah.
“Seiring dengan populasi kita yang semakin berusia, kita berhadapan dengan cabaran seperti penyakit kronik, kerapuhan, risiko jatuh, masalah mobiliti, polifarmasi, kemerosotan kognitif, kemurungan, kesunyian dan pengasingan sosial,” ujarnya.
Sivanesan berkata, program yang berlangsung di KK Buntong itu turut memberi peluang kepada warga emas menjalani saringan kesihatan awal secara percuma.
“Hari ini ada lebih kurang lapan meja saringan disediakan di sini. Selain itu, program ini juga menggalakkan penyertaan yang aktif melalui senaman kerusi dan laluan rintangan, kuiz, bingo interaktif, sesi relaksasi, pameran kesihatan multidisiplin dan cabutan bertuah.
“Penuaan sihat tidak boleh dicapai oleh sektor kesihatan sahaja. Keluarga, penaja, organisasi komuniti dan masyarakat secara keseluruhannya juga memainkan peranan yang penting,” jelasnya.
Katanya, kerajaan negeri menyediakan rangkaian fasiliti kesihatan yang meliputi 15 hospital, 88 klinik kesihatan, lebih 120 klinik desa dan enam klinik bergerak bagi memberikan perkhidmatan kepada kira-kira 2.5 juta penduduk Perak.
“Kesemua ini adalah fasiliti-fasiliti kerajaan yang memberi perkhidmatan kesihatan kepada warga Perak sebanyak 2.5 juta orang dan saya amat berpuas hati dengan kesemua fasiliti-fasiliti ini, mereka menjalankan tugas dengan sungguh profesionalisme.
“Mungkin ada kekurangan sedikit tetapi kami akan memberikan perkhidmatan terbaik untuk semua,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak masih catat paling ramai warga emas, Kampar daerah tertinggi


