Sultan Nazrin seru pemimpin Islam kurangkan sengketa, perkasa identiti ummah

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru supaya pemimpin Islam mengurangkan persengketaan dan meminimumkan kegiatan politik, sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha memperkasa identiti ummah.

Baginda bertitah, sementara pemimpin dan kelompok politik bersaing serta bersengketa, terdapat individu dan kumpulan yang terus menggerakkan usaha positif.

“Pemimpin Islam, badan dan gerakan atas nama Islam, sebaiknya kurang bersengketa dan minimumkan berpolitik, tetapi lebih afdal mengutamakan perhatian, tenaga dan gerakan untuk menyokong dan membantu usaha-usaha yang berpotensi menggemilangkan identiti ummah.

“Amatlah menggalakkan dan sewajarnya kita bersyukur kerana ketika pemimpin dan kabilah-kabilah politik memilih untuk bersaing dan bersengketa, turut terdapat individu dan kumpulan yang merintis usaha-usaha positif, menggerakkan dan mengusahakan kesedaran terhadap pendidikan Islam, ekonomi Islam, kewangan Islam, industri halal, wakaf, dakwah digital dan pengukuhan institusi keluarga.

“Usaha-usaha positif ini wajib diperluaskan, diperkukuhkan dan dijayakan,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 1448H/2026M yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, identiti ummah Islam kini tidak lagi seragam susulan perbezaan negara, budaya dan sistem politik serta pengaruh perubahan zaman.

Titah baginda, keadaan itu memerlukan perhatian terhadap penghayatan nilai dan prinsip Islam supaya tidak hanya tertumpu kepada aspek simbolik serta ritual semata-mata.

“Meskipun identiti keagamaan masih kuat, tetapi tahap penghayatan semakin melihatkan perbezaan. Kepada sebahagian ummah, Islam hanya diwarisi melalui kelahiran, tanpa pengertian, tanpa penghayatan.

“Oleh itu meskipun Islam masih menjadi sumber pegangan, namun dalam kalangan sebahagian ummah, Islam lebih kelihatan pada simbol dan ritual, sedangkan prinsip dan nilai-nilai asas Islam seperti amanah, jujur, adil, akhlak, disiplin, ilmu, malu dan ihsan, semakin tidak diterjemahkan atau diamalkan dalam kehidupan,” titah baginda. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Perak sebak ketika titip doa di akhir titah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI