Pengaruh global cabar jati diri Muslim, identiti ummah – Sultan Nazrin

IPOH – Jati diri Muslim dan identiti ummah ketika ini berdepan cabaran yang perlu ditangani secara serius, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, ummah kini semakin terdedah kepada pengaruh global menerusi media sosial, budaya popular, hiburan dan gaya hidup yang turut membentuk pemikiran generasi muda.

Usaha, pendekatan dan langkah yang bijak sangat diperlukan untuk mengimbangkan dan memastikan kemodenan tidak menghakis prinsip dan identiti Muslim, demi memastikan tidak akan wujud krisis keyakinan terhadap identiti sendiri.

“Kesatuan ummah semakin menghadapi cabaran besar.  Perbezaan politik, mazhab, bangsa, kepentingan; di samping tarikan kepada pengaruh, pangkat, jawatan, harta dan kemewahan dunia, semakin mengatasi semangat persaudaraan, mengakibatkan konsep ukhuwah semakin dipinggiri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 1448H/2026M yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa pembentukan jati diri Muslim memerlukan proses yang berterusan, bermula daripada asas akidah, ilmu pengetahuan, akhlak dan amal.

“Sedarilah! Jati diri Muslim tidak terbina dalam sehari, tetapi bermula daripada akidah yang teguh, dibentuk dengan ilmu, dihiasi dengan akhlak, dan dibuktikan melalui amal,” titah baginda.

Titah baginda, sekiranya setiap masyarakat, keluarga dan individu mengambil tanggungjawab menyempurnakan peranan masing-masing secara berkesan, umat Islam mampu membina kekuatan jati diri yang disertai kemuliaan akhlak, keluasan ilmu dan keteguhan pendirian. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Fitnah dan kebencian di media sosial cetus perpecahan – Sultan Nazrin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI