IPOH – Kakitangan Ibu Pejabat MCA Negeri Perak yang terlibat dalam pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak secara terbalik telah meletakkan jawatan serta-merta selepas menyedari kesilapan tersebut.
MCA Perak turut memohon ampun kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung insiden yang tular hari ini.
Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memandang serius kejadian berkenaan.
Menurutnya, kejadian itu berlaku sekitar pagi tadi apabila seorang kakitangan yang didakwa telah berusia ditugaskan untuk memasang dan memacakkan Jalur Gemilang serta bendera Perak sempena meraikan Bulan Kemerdekaan.
“Kesilapan yang tidak disengajakan itu telah diperbetulkan segera manakala pihak yang terlibat melakukan kesilapan tersebut telah meletakkan jawatan serta-merta.
“MCA Perak menegaskan bahawa ini adalah kesilapan yang tidak disengajakan dan tiada niat sedikitpun untuk menghina Jalur Gemilang dan bendera Perak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebaik sahaja kesilapan itu disedari, kedua-dua bendera telah diturunkan serta-merta dan dikibarkan semula dengan betul.
Katanya, kakitangan terbabit turut melahirkan rasa kesal terhadap kejadian itu sebelum secara sukarela menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.
“Kami menerimanya atas dasar menghormati keputusan peribadi beliau. Beliau telah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama bertahun-tahun.
“Pada masa sama, kami akan menguruskan hal-hal berkaitan beliau berhubung perkara ini dengan sewajarnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, MCA Perak turut mengesahkan telah dikunjungi pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar jam 1 petang tadi bagi menjalankan siasatan serta merakam percakapan kakitangan terbabit dan pegawai pentadbiran di ibu pejabat.
Terdahulu, tular di media sosial Jalur Gemilang dan bendera Perak telah dipasang secara terbalik di atas bangunan Ibu Pejabat MCA Perak di sini, hari ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bendera terbalik: Arahan tutup klinik 30 hari tak setimpal kesalahan


