IPOH – Projek perumahan D’Aman Residensi Meru Raya di sini, yang sebelum ini dikategorikan sebagai terbengkalai berjaya dipulihkan sepenuhnya, dengan proses penyerahan kunci kepada pembeli sedang berjalan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Sy Ching berkata, kerja-kerja pembinaan projek berkenaan telah siap sepenuhnya hasil kerjasama pelbagai pihak sebelum memasuki fasa mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Mematuhi (CCC) sekitar April lalu.
Menurut beliau, selepas CCC diperoleh, pihak pemaju kini dalam proses menghubungi pembeli bagi urusan penyerahan kunci kediaman masing-masing sejak Julai lalu.
“Sekarang ia memang dalam proses untuk serah kunci. Masing-masing pembeli telah dihubungi oleh pihak pemaju dalam urusan serah kunci.
“Saya difahamkan ada sebilangan pembeli telah menjelaskan bayaran deposit dn sebagainya seperti yang dikehendaki telah mendapat kunci masing-masing. Proses ini masih berjalan” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke ke Majlis Pelancaran Fasa 1B (Blok A) Residensi Jati De Meru di Galeri Jualan Residensi Jati De Meru, Ipoh, pada Ahad.
Sandrea berkata, kejayaan memulihkan projek terbengkalai berkenaan sehingga ke peringkat penyerahan kunci tidak akan dapat direalisasikan tanpa kerjasama pelbagai pihak, khususnya agensi teknikal kerajaan negeri.
Katanya, kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak (LAP) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), antara lain, membantu mempercepatkan proses berkaitan bagi membolehkan CCC dikeluarkan.
”Di pihak KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) serta jabatan Persekutuan juga ada kelonggaran yang diberikan di mana pendaftaran hak milik strata diberi tempoh masa setahun disyaratkan kepada pihak pemaju untuk memenuhi.
“Ini untuk bantu supaya CCC dapat dikeluarkan secepat mungkin dan penyerahan kunci dapat dikeluarkan,” katanya.
Sandrea berkata, perkembangan itu menunjukkan projek perumahan terbengkalai berkenaan kini boleh dianggap telah diselesaikan selepas pembinaan berjaya disiapkan dan pembeli mula menerima kunci.
Bagaimanapun, katanya, tempoh pembeli menerima kunci mungkin berbeza mengikut keperluan serta urusan setiap individu.
“Saya kira dari segi projek terbengkalai bagi D’Aman Residensi Meru Raya, sekarang telah diselesaikan di mana pembinaan telah selesai sehingga boleh keluar serah kunci kepada pembeli.
“Cuma pembeli yang berlainan mengambil masa yang mengikut keperluan masing-masing dalam urusan ini.
“Dari segi projek terbengkalai yang dulu telah terhenti, ia telah dapat dipulihkan sehingga selesai dan serah kunci kepada pembeli,” katanya. -MG Perak


