Ipoh Coffee Vibes perkukuh identiti sebagai ‘Bandar Kopi’

IPOH – Cukup sinonim dengan kopi putih (White Coffee), Ipoh terus memperkukuh identitinya sebagai bandar kopi menerusi penganjuran Ipoh Coffee Vibes 2026 yang menggabungkan kepelbagaian budaya, makanan, muzik, seni dan pelancongan.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, penganjuran pesta berkenaan bukan sekadar mengetengahkan kopi putih Ipoh, sebaliknya menjadi platform memperkenalkan kepelbagaian budaya kopi yang berkembang dalam masyarakat berbilang kaum di bandar raya ini.

Menurut beliau, kopi putih merupakan antara identiti penting Ipoh yang mempunyai nilai sejarah dan daya tarikan tersendiri kepada pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

“Bermula daripada kopi putih yang sememangnya terkenal sebagai identiti Ipoh, kita mahu membawa pengunjung melihat bahawa budaya kopi di bandar ini sebenarnya jauh lebih luas dan merangkumi pelbagai cita rasa serta budaya masyarakat.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee ketika Sidang Media Ipoh Coffee Vibes 2026 di Perak Turf Club, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 SEPTEMBER 2026.

“Ini termasuk kopi istimewa masyarakat Melayu, kopi tarik masyarakat India, kopi Itali, kopi specialty serta jenama antarabangsa yang semuanya boleh dinikmati dalam satu pengalaman di Ipoh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Ipoh Kopi Vibes 2026, di Perak Turf Club, Taman Jepun, di sini, pada Selasa.

Pesta Ipoh Coffee Vibes 2026 yang dianjurkan julung kalinya akan berlangsung selama empat hari, bermula 10 hingga 13 September 2026 di Riverfront Old Town Ipoh, di sini.

Mengulas lanjut, Sze Yee berkata, konsep berkenaan selari dengan usaha memperkukuh Ipoh sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri dengan mengetengahkan kisah kota di tebing Sungai Kinta melalui budaya kopi.

“Apabila kita bercakap mengenai Ipoh sebagai Bandar Kopi, kita bukan mahu menghadkan identiti itu kepada satu jenis kopi sahaja, tetapi meraikan keseluruhan budaya kopi yang ada di Ipoh.

“Kita mahu orang datang ke Ipoh bukan sekadar untuk minum kopi, tetapi menikmati suasana, mengenali kisah bandar ini dan merasai sendiri kepelbagaian budaya yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat,” katanya.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee menunjukkan cawan dan piring edisi khas sempena sidang media penganjuran Ipoh Coffee Vibes 2026 di Perak Turf Club, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 SEPTEMBER 2026.

Menurut beliau, pesta tersebut turut memberi peluang kepada pengunjung menikmati kopi dalam suasana kedai kopi putih terbuka yang akan diwujudkan di sepanjang Sungai Kinta.

Katanya, pendekatan itu diharap dapat menghidupkan semula suasana kedai kopi tradisional Ipoh dalam bentuk yang lebih terbuka, santai dan menarik kepada generasi baharu serta pelancong.

“Pengunjung boleh menikmati kopi putih sambil menyaksikan persembahan di sepanjang Sungai Kinta. Pada masa sama, mereka dapat mengimbau suasana kedai kopi Ipoh suatu ketika dahulu.

“Ini memberikan pengalaman yang berbeza kerana kopi bukan hanya minuman, tetapi sebahagian daripada cerita dan budaya sesebuah bandar,” katanya.

Pesta yang dianjurkan bersama Pejabat Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak serta Persatuan Vitaliti Kinta Perak itu menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 40,000 sepanjang program berkenaan. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI