Enam cedera MPV, kereta bertembung di Kampung Gajah

PASIR SALAK – Enam individu cedera selepas dua kenderaan bertembung di Taman Seri Kampit, Kampung Gajah, dekat sini, pada Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.41 pagi.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan tersebut.

“Kemalangan itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki tiga lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun yang bertembung secara berhadapan dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia dinaiki tiga wanita berusia lingkungan 20-an.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati pemandu Perodua Axia tersepit di tempat duduk pemandu manakala dua penumpang lain turut mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki yang menaiki Toyota Estima hanya mengalami kecederaan ringan dan trauma.

“Ketua operasi menjalankan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER sebelum anggota melaksanakan kerja-kerja menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan unit kuasa (power unit) dan pengusung.

“Anggota turut memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum menyerahkan kesemua mangsa kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan operasi tamat sepenuhnya jam 8.47 pagi,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Seorang maut, seorang cedera kereta terbabas langgar pembahagi jalan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI