IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 2026 secara sebulat suara, pada Selasa.
RUU untuk memodenkan, menyusun semula dan memperkemas peruntukan undang-undang berkaitan saraan Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri itu dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum dibahasakan.
Seramai dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ong Boon Piow (PH-Bercham) selaku penyokong usul dan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik) mewakili pembangkang mengambil bahagian perbahasan RUU itu sebelum penggulungan oleh Saarani.
Selepas penggulungan, Yang Dipertua DUN Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan RUU itu diluluskan bagi bacaan kali kedua dan ketiga selepas mendapat persetujuan semua ADUN.
Terdahulu ketika membentangkan RUU berkenaan, Saarani berkata, enakmen berkaitan saraaan Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri sedia ada itu telah berkuat kuasa sejak 1980 selain melalui 13 kali pindaan.
Ujar beliau, kerajaan negeri berpandangan sudah tiba masanya ia diteliti secara menyeluruh supaya susunan, tafsiran dan peruntukannya lebih jelas, teratur serta selaras dengan kaedah penggubalan undang-undang semasa.
“Secara keseluruhannya, penggubalan Rang Undang-Undang ini bukanlah bertujuan untuk mengubah keseluruhan dasar dan kerangka saraan yang sedia ada.
“Sebaliknya, sebahagian besar penambahbaikan yang dibuat bersifat pemodenan, penyusunan semula dan penjelasan peruntukan undang-undang, di samping beberapa pindaan tertentu bagi memenuhi keperluan semasa,” katanya.
Jelas Saarani, proses semakan bermula pada 2025 menerusi beberapa siri bengkel dan perbincangan melibatkan pelbagai pihak termasuk, Yang di-Pertua Dewan Negeri, ADUN kerajaan dan pembangkang serta dua bekas ADUN.
Kata beliau, antara penambahbaikan dipersetujui ialah menaikkan kadar maksimum pencen bulanan daripada 50 kepada 60 peratus daripada gaji selepas mengambil kira pandangan dalam sesi libat urus serta perbandingan dengan Parlimen dan beberapa negeri.
“Parlimen Malaysia, Pulau Pinang, Selangor dan Johor memperuntukkan kadar maksimum pencen sebanyak tiga perlima atau 60 peratus daripada gaji,” ujarnya.
Tambah Menteri Besar Perak, penambahbaikan lain termasuk memasukkan jawatan Timbalan Yang Dipertua DUN dalam tafsiran ‘Ahli’ serta mewujudkan peruntukan khusus berkaitan elaun Ketua Pembangkang.
Pada masa sama kata beliau, formula pengiraan pencen dan ganjaran sedia ada pada asasnya dikekalkan, manakala kadar faedah akibat kemalangan sedia ada turut tidak berubah.
Ketika menggulung perbahasan, Saarani berkata, penambahbaikan terhadap enakmen itu boleh terus diperhalusi dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
“Akan ada dari semasa ke semasa keperluan untuk kita membuat penambahbaikan. Yang paling penting kita dapat memperhalusinya dari semasa ke semasa,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak akan bentang RUU Enakmen Akta Perhutanan Negara dalam sidang DUN


