IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM12.5 juta bagi pelaksanaan projek landskap Bandar Ipoh serta projek pengindahan di pesisiran Sungai Kinta (Kinta Riverfront) melibatkan jajaran kira-kira 3.7 kilometer.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek itu bagi memastikan bandar raya Ipoh supaya terus tampil indah, mampan dan hijau, selain memperkukuh daya tarikan Kinta Riverfront sebagai destinasi rekreasi serta pelancongan.
Menurutnya, usaha tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara KPKT dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“KPKT dan MOTAC akan berganding bahu bagi memastikan bandar kita terus indah, mampan dan hijau.
“Justeru, sebagai gandingan yang mantap, kita (KPKT) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM12.5 juta untuk projek landskap bandar raya Ipoh dan juga projek pengindahan Kinta Riverfront,“ katanya,
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Ipoh Coffee Vibes 2026 di Riverfront@Old Town di sini, malam tadi.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Beliau berkata, projek berkenaan diharap dapat menjadikan kawasan tersebut sebagai salah satu lokasi tumpuan penduduk setempat serta pelancong.
“Kita mahu menjadikan Kinta Riverfront sebagai sungai yang hidup yang membawa penduduk, warga tempatan dan pelancong untuk menikmati keindahan pemandangan sepanjang Sungai Kinta,” ujarnya.
Katanya, inisiatif itu turut dilihat mampu memperkukuh imej bandar raya Ipoh sebagai sebuah bandar yang menitikberatkan aspek kelestarian, kehijauan dan kualiti persekitaran bandar. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


