159 pelajar, kakitangan sekolah berasrama alami keracunan makanan

TAIPING – Seramai 159 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah berasrama di daerah Lenggong mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada makanan yang dihidangkan dalam satu program pada Rabu lalu.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, Datuk A Sivanesan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak telah menerima laporan kejadian itu daripada Klinik Kesihatan (KK) Lenggong, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan awal di lapangan mendapati seramai 159 orang mangsa berusia antara 13 hingga 52 tahun mengalami gejala berkaitan keracunan makanan.

“Mangsa pertama mula mengalami gejala pada jam 11.30 malam, Rabu lalu, manakala mangsa terakhir mengalami gejala semalam sekitar jam 1.40 petang.

“Kesemua 159 kes mengalami cirit-birit dan sakit perut manakala 125 orang atau 78.6 peratus mengalami sakit kepala.

“Seramai 89 orang mengalami loya, muntah (31) dan mengalami demam (15),” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Taiping, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa sudah diperiksa dan menerima rawatan di sekolah berkenaan oleh pasukan perubatan dari KK Lenggong manakala 10 kes menerima rawatan lanjut di klinik itu.

Tambahnya, kesemua mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan tiada seorang pun dimasukkan ke wad.

Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan memaklumkan sebanyak 34 sampel klinikal termasuk kultur najis dan virologi, 14 sampel persekitaran serta satu sampel makanan diambil semalam untuk dianalisis di Makmal Kesihatan Awam Ipoh (MKAI).

“Makanan yang disyaki menjadi punca kejadian ini disediakan katerer luar yang ditempah sebuah agensi bagi satu program di sekolah berkenaan pada Rabu lalu.

“Susulan kejadian itu, PKD Hulu Perak menjalankan pemeriksaan terhadap premis makanan berkenaan pada jam 2 petang semalam dan mendapati premis itu memperoleh penarafan 78.16 peratus,” katanya.

Katanya, PKD Hulu Perak kemudian mengeluarkan arahan penutupan premis makanan terbabit mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Pengusaha dapur turut diberikan pendidikan kesihatan serta arahan kerja bagi melaksanakan kerja pembersihan dan tindakan pembetulan termasuk kawalan makhluk perosak secara berkala,” jelasnya.

Sivanesan berkata, dewan makan sekolah tersebut bagaimanapun terus beroperasi seperti biasa bagi menyediakan makanan kepada pelajar. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nasi goreng tomyam dipercayai punca 43 pelajar keracunan makanan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI