IPOH – Program Pesta Kopi Ipoh akan dijadikan acara tahunan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jenama pelancongan gastronomi bandar raya ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kejayaan penganjuran Pesta Jom Makan Ipoh sempena sambutan Hari Kebangsaan serta Pesta Kopi Ipoh sempena Hari Malaysia membuktikan potensi besar Ipoh untuk muncul sebagai destinasi makanan utama negara.
“Kita mahu memastikan kedua-dua program ini menjadi jenama yang sinonim dengan Ipoh sekali gus mahu menjadikan Ipoh sebagai ibu kota makanan di Malaysia” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Ipoh Coffee Vibes 2026 di Riverfront@Old Town di sini, malam tadi.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming berkata, industri kopi tempatan juga mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai salah satu tarikan pelancongan dan gastronomi bandar raya berkenaan.
Menurutnya, kepelbagaian kaum dalam kalangan barista yang terlibat dalam industri kopi di Ipoh turut mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat.

“Kalau kita lihat di Itali dan negara-negara lain, barista dianggap sebagai satu profesion yang profesional dan mempunyai kelayakan tinggi.
“Oleh itu, sudah tiba masanya kita memastikan sifu-sifu kopi putih (white coffee) Ipoh ini juga mendapat pengiktirafan yang sewajarnya sebagai barista, malah sebagai ‘Maestro of Coffee‘,“ ujarnya.
Kor Ming berkata, sempena sambutan ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara pada tahun hadapan, pesta ini akan memperkenalkan Pertandingan Barista Ipoh White Coffee sebagai platform kepada pengusaha kopi putih untuk mempamerkan kemahiran dan kepakaran mereka.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang itu berkata, pertandingan berkenaan dapat membantu memelihara seni dan kemahiran tradisional dalam penyediaan kopi putih Ipoh, di samping memperkenalkan lagi salah satu jenama tersebut ke peringkat antarabangsa.
Program Ipoh Coffee Vibes 2026 yang diadakan selama empat hari sehingga Ahad ini menyasarkan kehadiran seramai 40,000 pengunjung. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


