Perak teliti langkah jangka panjang perkukuh cerun berisiko di lebuh raya

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan meneliti kaedah paling selamat bagi pelaksanaan kerja-kerja jangka panjang membabitkan pengukuhan semula cerun dan penstabilan batuan di kawasan Lebuhraya Utara-Selatan yang dikenal pasti berisiko.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, langkah berkenaan dilihat penting bagi memastikan struktur cerun di kawasan terlibat berada dalam keadaan stabil serta mengurangkan risiko pergerakan batuan yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

Dalam masa sama, beliau berkata, cadangan berkenaan turut mengambil kira keperluan peruntukan tambahan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR), khususnya sekiranya skop kerja yang diperlukan tidak termasuk dalam perjanjian atau penyelenggaraan sedia ada.

Untuk jangka panjang, kita akan melihat kaedah paling selamat termasuk kerja pengukuhan semula cerun dan penstabilan batuan di kawasan terlibat.

“Cadangan ini turut melibatkan kemungkinan peruntukan tambahan melalui Kementerian Kerja Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tersebut di Pusat Kawalan Menora, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Wilayah Utara LLM, Ir Ts Muhd Yusrizan Mohd Yusof dan Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar menyentuh langkah jangka masa panjang berhubung keadaan struktur cerun berhampiran Terowong Menora di Kilometer (KM) 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini, ia perlu diperkukuh semula bagi memastikan bongkah batu besar yang terdapat di kawasan berkenaan dapat distabilkan dan tidak mengalami pergerakan.

“Mana-mana kawasan yang perlu diambil tindakan macam itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kena cadangkan dan kalau melibatkan satu skop yang tidak masuk dalam perjanjian, kerajaan pusat, kerajaan negeri, kita akan lihat apa yang boleh kita bantu supaya kawasan yang tertentu (localized area) ini supaya tidak berlaku benda yang sama,” ujarnya.

Katanya, kejadian yang berlaku di kawasan berkenaan perlu dilihat sebagai peringatan supaya aspek keselamatan cerun di sepanjang laluan terbabit diberi perhatian lebih menyeluruh.

“Kes dekat sini cuma satu kes yang orang kata terpencil, tapi cerun ini panjang, kita naik daripada Menora ni sampailah ke Jelapang ada cerun.

”Apa yang berlaku pada Jumaat lalu merupakan tanda yang pertama yang kita kena bagi sedikit perhatian lebih kepada cerun kiri kanan,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan satu kejadian cerun runtuh berlaku di KM263.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dari Terowong Menora menuju Ipoh mengakibatkan kesesakan trafik sehingga 15 kilometer. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Cerun runtuh: PLUS, LLM tingkat pemantauan, laluan selamat dilalui pengguna

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI