22 koperasi Perak terima geran RM1.134 juta

IPOH – Bantuan dan geran yang disalurkan kerajaan kepada gerakan koperasi perlu diterjemahkan kepada peningkatan kapasiti serta pertambahan hasil yang memberi manfaat kepada anggota.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, koperasi tidak seharusnya melihat bantuan diterima sebagai matlamat akhir, sebaliknya menjadikannya pemangkin untuk mengembangkan perniagaan secara berterusan.

“Bagi tahun 2026, sebanyak 22 koperasi di Perak telah menerima geran berjumlah RM1.134 juta. Bantuan seperti ini mesti membawa hasil yang boleh dilihat.

“Kalau digunakan untuk meningkatkan kapasiti, kita mahu kapasiti benar-benar meningkat, manakala jika digunakan untuk mengembangkan perniagaan, kita mahu ada pasaran baharu, hasil yang bertambah dan manfaat yang kembali kepada anggota,” katanya.

geran koperasi Perak Keyphrase synonyms: geran koperasi, bantuan koperasi Perak, bantuan gerakan koperasi, geran koperasi negeri Perak, bantuan kerajaan kepada koperasi Related keyphrases (5): 1. 22 koperasi Perak terima geran 2. geran RM1.134 juta koperasi 3. bantuan koperasi Perak 2026 4. Geran Koperasi Perak GKOP 5. Suruhanjaya Koperasi Malaysia Perak
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Tahun 2026 (MAGK’26) Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 SEPTEMBER 2026.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Tahun 2026 (MAGK’26) Negeri Perak anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak di sini, pada Khamis.

Saarani berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.1 juta bagi Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi Belanjawan Negeri Perak 2026, meningkat RM100,000 berbanding tahun sebelumnya.

Menurut beliau, sebanyak RM350,000 turut disediakan menerusi Geran Koperasi Perak (GKOP) bagi membantu koperasi memperkukuh dan mengembangkan aktiviti perniagaan.

Pada masa sama Saarani berkata, kekuatan gerakan koperasi terletak pada keupayaannya menghimpunkan anggota untuk membina sesuatu secara bersama, berkongsi tanggungjawab dan menikmati manfaat daripada hasil yang diperoleh.

“Gerakan koperasi di Perak perlu terus memperkemas pengurusan, menyesuaikan perniagaan dengan perubahan pasaran dan merebut peluang yang terbuka.

“Saya percaya koperasi mempunyai ruang yang besar untuk menjadi rakan kepada kerajaan negeri dalam menjayakan Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, sebanyak RM254 juta disediakan pada 2026 bagi melaksanakan 28 program pembangunan koperasi.

Kata beliau, daripada jumlah itu, RM226 juta disediakan menerusi Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM yang meliputi lapan program khusus untuk menyokong modal kerja, pengembangan perniagaan serta peningkatan keupayaan dan daya saing koperasi.

“Sebanyak RM27.9 juta pula diperuntukkan dalam bentuk geran melalui Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPb), Kumpulan Wang Pusat (CCF) serta Bajet Pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Di bawah KWAPb, SKM memperuntukkan RM15.1 juta bagi melaksanakan 17 program pembangunan perniagaan koperasi pada tahun 2026, termasuk memperkukuh aktiviti perniagaan, meningkatkan keupayaan koperasi serta membina ekosistem perniagaan yang lebih berdaya saing,” katanya.

Ahmad Norihan berkata, koperasi perlu mempunyai perancangan perniagaan yang jelas bagi memastikan organisasi mampu berkembang selepas menerima bantuan atau pembiayaan.

Pada majlis, Koperasi Guru-Guru Sekolah Malaysia Berhad dinobatkan sebagai penerima tempat pertama Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Perak Tahun 2026, diikuti Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Seberang Perak Berhad di tempat kedua dan Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad di tempat ketiga.

Ketiga-tiga koperasi berkenaan merupakan tiga koperasi teratas Perak yang disenaraikan dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Tahun 2026 peringkat kebangsaan.

Selain itu, MAGK’26 turut memberikan pengiktirafan menerusi Anugerah Koperasi Harapan Negeri Perak Tahun 2026 kepada Koperasi Bukit Gantang Berhad, Anugerah Koperasi IPT Terbaik Negeri Perak Tahun 2026 kepada Koperasi Politeknik Ungku Omar Ipoh Berhad serta Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik Negeri Perak Tahun 2026 kepada Koperasi MRSM Bagan Datuk Berhad. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Nilai aset koperasi di Perak berjumlah RM1.62 bilion – Exco

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI