IPOH – Seorang lelaki cedera selepas tersepit di bahagian pemandu dalam kemalangan membabitkan tiga lori di Kilometer 257.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, selepas Terowong Menora, pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.58 pagi sebelum menggerakkan sebuah jentera dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya.
“Kemalangan itu melibatkan sebuah lori bonded jenis Hino membawa muatan pelbagai barangan, serta sebuah lori bonded jenis Isuzu membawa muatan minuman dan lori treler jenis Volvo dengan muatan barangan sejuk beku.
“Seorang mangsa lelaki berumur 27 tahun tersepit di bahagian pemandu lori jenis Hino dan kemalangan itu mengakibatkan laluan jalan terhalang di semua lorong lebuh raya menghala ke utara serta berlaku kesesakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dua lagi mangsa berumur 59 tahun dan 33 tahun daripada lori Isuzu dan Volvo telah keluar dengan sendiri sebelum pihak bomba tiba di lokasi dan tidak mengalami kecederaan.
Sabarodzi berkata mangsa yang cedera ringan di kaki kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 10.54 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan tersebut dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut di lokasi.
Dalam pada itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi di platform X memaklumkan kejadian tersebut telah menyebabkan semua lorong terhalang dan kesesakan trafik sejauh tujuh kilometer pagi ini.
LLM dalam kemas kini maklumat memaklumkan pasukan peronda, Incident Support Services (ISS), bomba dan Emergency Medical Patrol Vehicle (EMPV) telah berada di lokasi kejadian.
Menurut LLM, laluan keluar wajib di Ipoh Selatan telah diaktifkan bagi menguruskan aliran trafik berikutan kemalangan berkenaan.
— BERNAMA


