IPOH – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengarahkan sebuah syarikat kuari menghentikan sementara operasi susulan kejadian seorang pekerja maut selepas lori dipandunya dihempap bongkah batu di tapak kuari Keramat Pulai, Simpang Pulai, Isnin lalu.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, JKKP Perak turut mengeluarkan Notis Larangan dan Surat Arahan kepada syarikat berkenaan bagi membolehkan tindakan penambahbaikan dilaksanakan.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 17 dan 18, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
“Sekarang (JKKP) sedang buat siasatan dan arahan sekarang adalah untuk penutupan operasi sementara. Pada masa yang sama, kita juga tunggu laporan daripada jururunding, lepas itu kita akan rujuk balik,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah JKKP Perak, Mohd Hazlim Husain.
Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan berkata, berdasarkan semakan JKKP, syarikat yang mengendalikan kuari berkenaan telah beroperasi sejak sekitar 1989 dan tidak mempunyai rekod kemalangan yang pernah dilaporkan kepada jabatan berkenaan.
“Majikan dan kuari ini, tidak ada rekod kemalangan JKKP pernah dilaporkan kepada jabatan, setakat 13 September lalu,“ ujarnya.

Tambahnya, JKKP memandang serius setiap kemalangan yang melibatkan pekerja mahupun orang awam.
“Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti bahaya, menjalankan pentaksiran risiko serta melaksanakan langkah kawalan yang berkesan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja sentiasa terpelihara,” katanya.
Terdahulu, seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya dihempap batu ketika melakukan kerja-kerja kuari di kawasan kuari di Mukim Sungai Raya, Keramat Pulai, di sini pada petang Isnin lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa, M Sivakumar, 53, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.
Siasatan awal JKKP Perak mendapati bahawa mangsa sedang menunggu untuk memasuki kawasan kuari apabila seketul bongkah batu besar bergerak turun dari kawasan bukit lalu menghempap kepala lori yang dipandunya.
Mangsa tersepit di dalam kabin lori dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM pada kira-kira jam 5.50 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


