Perak perkukuh kerjasama dengan industri hadapi cabaran perniagaan

IPOH – Kerajaan Perak akan terus memperkukuh kerjasama dengan komuniti industri bagi memastikan sektor pembuatan di negeri kekal berdaya saing khususnya dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tumpuan itu termasuk memastikan proses kelulusan lebih cekap, penyelarasan antara agensi, selain penyediaan jaringan logistik serta tenaga kerja berkemahiran.

Justeru katanya, hubungan erat antara kerajaan negeri dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) penting bagi memastikan pandangan dan keperluan pemain industri dapat disampaikan untuk tindakan bersama.

“Kerajaan negeri amat menghargai peranan tersebut, khususnya dalam menyampaikan pandangan dan keperluan pemain industri melalui sesi libat urus serta pelbagai platform perundingan.

“Maklum balas daripada industri membantu kerajaan memahami keadaan sebenar di lapangan dan seterusnya mencari pendekatan yang sesuai bagi menangani isu yang timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Sambutan Ulang Tahun ke-58 FMM Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini, malam tadi.

Hadir sama Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee serta Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok.

Saarani berkata, peranan FMM dilihat semakin penting terutama ketika sektor pembuatan berdepan cabaran susulan peningkatan kos pengeluaran serta pertumbuhan permintaan domestik dan eksport yang lebih sederhana.

Jelas beliau, berdasarkan Kajian Keadaan Perniagaan yang dilaksanakan FMM bagi separuh pertama tahun 2026, sebanyak 69 peratus responden melaporkan mengalami peningkatan kos pengeluaran.

“Sebahagian daripada tekanan itu berpunca daripada perkembangan ekonomi dan geopolitik di luar negara. Namun, di peringkat negeri, kita perlu terus memberi perhatian kepada perkara yang boleh membantu industri kekal berdaya tahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama FMM Perak penting dalam menyalurkan isu berkaitan infrastruktur, utiliti, kelulusan dan tenaga kerja supaya ia dapat diberi perhatian bersama agar penyelesaian bersesuaian dapat dikenal pasti.

Menurut Saarani, agensi berkaitan juga perlu terus berperanan sebagai pemudah cara kepada pelabur dan pemain industri, terutama melalui usaha penyelarasan lebih berkesan antara agensi negeri, pihak berkuasa tempatan serta penyedia utiliti.

Saarani berkata, pembangunan sektor perindustrian memerlukan kerjasama rapat semua pihak bagi memastikan Perak kekal berdaya saing dan mampu menarik pelaburan berkualiti.

“Pelaburan perlu membina keupayaan syarikat tempatan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Perak.

“Cabaran kita seterusnya adalah memastikan momentum tersebut dapat dikekalkan dengan meningkatkan produktiviti, memperluas penggunaan teknologi, memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta menyediakan bakat yang sepadan dengan keperluan industri,” katanya lagi. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

PERSERA mahu seni seramik Perak diangkat sebagai industri kreatif bernilai tinggi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI