IPOH – Polis sudah merakam keterangan 10 saksi bagi membantu siasatan kes seorang lelaki cedera yang ditembak dua individu di sebuah stesen minyak di Bidor, Tapah, pada Selasa.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, keterangan itu membabitkan sembilan saksi yang berada di lokasi kejadian serta mangsa
Menurutnya, mangsa kini sedang menerima rawatan dan menjalani pembedahan di Hospital Seri Botani serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Percakapan mangsa baru sahaja kita ambil dan sekarang ini keadaan mangsa stabil. Kita tunggu lagi perkembangan dan perlu melihat siasatan daripada pelbagai sudut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Kontinjen Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini, pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 6.08 petang Selasa lalu, mangsa berusia 41 tahun tiba di stesen minyak berkenaan dengan menaiki kenderaan Toyota Land Cruiser berwarna putih untuk mengisi minyak.
Dua lelaki kemudian keluar dari sebuah kereta jenis Honda City berwarna hitam sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan mangsa dan melarikan diri.
Mengulas lanjut Mohd Alwi berkata, tiga daripada sembilan saksi yang dirakam keterangan merupakan isteri, anak dan ipar yang berada bersama mangsa di dalam kenderaan ketika kejadian.

Jelas beliau, manakala dua lagi saksi merupakan orang awam berada dalam sebuah kereta Perodua Alza di lokasi kejadian dan selebihnya terdiri daripada pekerja stesen minyak.
Mohd Alwi berkata, polis turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan bagi membantu proses siasatan kes berkenaan.
“Kita nampak bagaimana mangsa telah ditembak daripada dua sudut, depan dan juga sebelah kanan. Kemudian kita juga telah melihat CCTV di plaza tol lebuh raya, tetapi apa yang kita dapati, mereka tidak melalui lebuh raya.
“Walau bagaimanapun, kita masih melihat daripada pelbagai sudut yang tepat untuk mengenal pasti suspek,” jelasnya.
Dalam pada itu Mohd Alwi berkata, polis percaya terdapat kemungkinan kenderaan mangsa telah diekori suspek sebelum kejadian berdasarkan pergerakan kenderaan suspek yang dipercayai bergerak laju sebelum berhenti dan melepaskan tembakan.
Kata beliau, polis turut mengesyaki terdapat tiga individu dalam kenderaan suspek termasuk seorang pemandu.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kenderaan digunakan suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Mangsa merupakan seorang ahli perniagaan. Mangsa ada restoran dan pelbagai lagi perniagaan yang dijalankan di sekitar Bidor, Slim River dan Tapah.
“Setakat ini pihak polis belum lagi dapat mengenal pasti motif yang tepat berkaitan kejadian ini, dan semua kemungkinan masih disiasat bagi mendapatkan motif yang sahih,” ujarnya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


