PASIR SALAK – Dua remaja maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Teluk Sareh, Kampung Gajah di sini awal pagi tadi.
Mangsa maut ialah Adam Danial Abdul Rahman, 18, dan Siti Qazrina Abdul Rahman, 19, manakala pemandu kereta yang cedera dikenali sebagai Mohamad Nor Afifi Harun, 31.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar jam 4.29 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah digerakkan ke lokasi bagi melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Yaris dan motosikal Yamaha Y15.
“Setibanya jentera di lokasi didapati kereta Toyota Yaris telah berada di dalam parit dan terdapat seorang mangsa lelaki yang cedera di dalam kenderaan tersebut namun tidak tersepit. Penunggang dan pembonceng motosikal yang maut turut berada di dalam parit.
“Ketua operasi melakukan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER sebelum mengarahkan anggota untuk mengangkat ketiga-tiga mangsa menggunakan pengusung.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Seri Iskandar untuk menerima rawatan,“ katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat jam 6.54 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


