Pasar Buntong berusia lebih 70 tahun bakal dinaik taraf

IPOH – Perancangan menaik taraf Pasar Buntong yang berusia lebih 70 tahun menjadi tumpuan bagi memastikan premis tersebut lebih bersih, selesa dan moden tanpa mengetepikan nilai sejarah serta warisan kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, M Thulsi berkata, pembangunan pasar itu perlu diberi keutamaan berikutan keadaan fizikalnya yang semakin tidak sesuai untuk menampung keperluan peniaga dan pengunjung.

Menurutnya, pasar berkenaan berkembang secara berperingkat sejak puluhan tahun lalu dan bukannya dibina berdasarkan perancangan serta reka bentuk khusus sebagai sebuah pasar awam.

Pasar Buntong berusia lebih 70 tahun bakal dinaik taraf
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, M Thulsi Thivani. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 OKTOBER 2026.

“Pasar Buntong sudah wujud sekitar 70 hingga 80 tahun lalu dan bermula sebagai satu kawasan untuk orang membeli keperluan harian di gerai. Ia bukan satu pasar yang dirancang, direka dan dibina tetapi berkembang menjadi pasar mengikut peredaran zaman.

“Di sini kita lihat banyak masalah antaranya keadaan pasar yang kotor, tiada sistem saliran yang baik, tiada sistem pengudaraan serta keselesaan peniaga dan pengunjung pasar memang kurang baik,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peruntukan bagi projek kecil di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) ditingkatkan kepada hampir RM700 juta, meliputi kerja-kerja menaik taraf taman, tandas dan gerai awam pada Belanjawan 2027 yang dibentangkan Jumaat lalu.

Pasar Buntong berusia lebih 70 tahun bakal dinaik taraf
Pasar Buntong. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 OKTOBER 2026.

Tumpuan turut diberikan kepada pembinaan gerai MADANI serta pembangunan semula beberapa kompleks penjaja dan pasar awam, termasuk Kompleks Penjaja Jalan Chui Yin di Bentong, Pahang; tapak penjaja Hill Trace di Georgetown, Pulau Pinang termasuk Pasar Buntong di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan semula itu perlu mengekalkan identiti dan sejarah Buntong menerusi reka bentuk yang menggabungkan elemen moden dengan nilai seni serta warisan tempatan.

“Impian pihak kami adalah untuk membina satu pasar yang boleh mengingati sejarah dan warisan Buntong. Saya fikir kita perlu menghasilkan reka bentuk sebuah pasar moden yang turut meliputi aspek-aspek warisan dan sejarah yang kita ada,” ujarnya.

Katanya, peniaga akan dipindahkan ke pasar sementara yang sedang dibina sebelum kerja-kerja pembangunan pasar baharu dilaksanakan.

Pasar Buntong berusia lebih 70 tahun bakal dinaik taraf
Pasar Buntong. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 OKTOBER 2026.

Dalam pada itu, Thulsi memaklumkan pasar tersebut mempunyai 220 peniaga berdaftar, namun sekitar 100 orang sahaja yang dilihat aktif berniaga setiap hari.

Tambahnya, terdapat ruang niaga yang tidak digunakan walaupun jumlah peniaga berdaftar agak ramai serta mencerminkan cabaran yang dihadapi peniaga susulan keadaan pasar yang kurang menarik pengunjung.

Bagaimanapun, beliau berkata, tinjauan mendapati orang ramai masih berminat mengunjungi pasar awam sekiranya kemudahan itu dinaik taraf dan persekitarannya lebih bersih serta selesa, selain menawarkan harga barangan yang berpatutan.

“Kalau pasar ini bersih, ada fasiliti moden yang cantik dan selesa, mereka lebih rela untuk pergi pasar awam sebab harga barangan lebih berpatutan,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPKT peruntuk RM14 juta bina semula pasar Pasir Pinji Ipoh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI