BANGI – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli akan memberikan penjelasan secara bertulis berhubung dakwaan mengaitkan beliau dengan gerakan New Age Movement (NAM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, beberapa persoalan bertulis akan dikemukakan kepada Marhamah bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu berkenaan.
Beliau berkata, perbincangan mengenai perkara itu telah diadakan, manakala pakar sedang mendapatkan maklumat berkaitan bagi membolehkan penelitian lanjut dilakukan.
“Buat masa ini, kita telah mengadakan perbincangan dan pakar-pakar juga sedang mendapatkan maklumat yang diperlukan.
“Kita juga mengemukakan beberapa persoalan-persoalan bertulis yang akan dijawab Timbalan Menteri.
“Semua perkara ini insya-Allah akan diselesaikan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Penerbitan Islam Tahun 2026 dan Majlis Anugerah Penerbitan Buku Agama (MAPBA) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), hari ini.
Isu berkenaan timbul selepas Marhamah dikaitkan dengan gerakan NAM sejak September lalu.
Semalam di Dewan Rakyat, Marhamah enggan mengulas isu New Age Movement (NAM) yang dibangkitkan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau sebaliknya mengingatkan semua pihak supaya menyemak kesahihan sesuatu perkara sebelum membuat penghakiman.
Sebelum menjawab soalan yang dikemukakan itu, Marhamah turut dinasihatkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang beliau mempunyai pilihan untuk tidak menjawab soalan berkenaan.
Sebelum ini, seorang pengguna Facebook berkongsi mengenai program yang dikaitkan dengan Marhamah yang didakwa berunsur NAM dan perkongsian itu mendapat perhatian warganet di media sosial.
Pada 18 September lalu media melaporkan bahawa Marhamah memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran New Age.
Menerusi kenyataan, Marhamah menafikan segala tohmahan yang dibuat ke atasnya selain menuntut pihak terbabit menarik balik penerbitan berkenaan, menghentikan penyebaran serta membuat permohonan maaf dan pembetulan secara terbuka dalam tempoh berkenaan. – MalaysiaGazette


