22,849 bakat semikonduktor dilatih – Johari

KUALA LUMPUR – Seramai 22,849 bakat telah dilatih menerusi pelbagai program pembangunan tenaga kerja semikonduktor setakat suku ketiga 2026, ketika kerajaan menyasarkan melahirkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pencapaian itu menunjukkan kemajuan ke arah sasaran Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS), namun usaha berterusan masih diperlukan bagi memastikan bekalan tenaga mahir memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata, pembangunan bakat bukan sekadar memastikan jumlah tenaga kerja mencukupi, malah perlu mengambil kira kemahiran dan kepakaran yang diperlukan industri semikonduktor yang semakin kompleks.

“Setakat suku ketiga tahun 2026, seramai 22,849 bakat telah dilatih melalui pelbagai program pembangunan bakat yang dilaksanakan oleh institusi pendidikan tinggi dan penyedia latihan teknikal,” katanya pada sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PH-Puchong, Yeo Bee Yin, yang meminta penjelasan mengenai status terkini inisiatif melahirkan 60,000 bakat semikonduktor di bawah NSS.

Yeo turut meminta maklumat mengenai jumlah perbelanjaan peruntukan setakat ini, pecahan penempatan bakat mengikut subsektor seperti reka bentuk litar bersepadu (IC design) dan pembungkusan termaju (advanced packaging), serta kadar pengekalan bakat dalam ekosistem tempatan.

Menjawab pertanyaan itu, Johari berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang menyelaras pengumpulan data bersama Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi, agensi pelaksana, institusi pendidikan dan pihak industri.

“Usaha berkenaan bertujuan memperincikan jumlah bakat yang ditempatkan mengikut subsektor, kadar penyerapan tenaga mahir serta bilangan mereka yang bekerja dalam ekosistem semikonduktor tempatan,” katanya.

Beliau mengakui, kerajaan masih belum mempunyai maklumat terperinci mengenai tempat kerja semua bakat yang dilatih, termasuk jumlah yang bekerja dalam sektor berkenaan dan mereka yang belum mendapat pekerjaan berkaitan.

“Keadaan itu memerlukan penyelarasan lanjut bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai penempatan graduan selepas menamatkan latihan.

“Usaha pembangunan bakat dilaksanakan melalui pendekatan bersepadu, termasuk peningkatan kemahiran pekerja sedia ada, latihan semula, pengukuhan latihan teknikal dan vokasional serta kerjasama strategik antara institusi pendidikan dengan industri.

“Ia penting bagi memastikan tenaga kerja yang dilahirkan mempunyai kemahiran bersesuaian dengan keperluan sebenar industri semikonduktor,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Johari menjelaskan bahawa gaji dalam industri semikonduktor berbeza mengikut jawatan, pengalaman dan bidang kepakaran.

Menurutnya, pengurus kejuruteraan boleh menerima gaji antara RM12,000 hingga RM25,000 sebulan, manakala pakar reka bentuk IC dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) memperoleh antara RM8,000 hingga RM25,000.

“Jurutera kanan pula menerima antara RM10,000 hingga RM20,000 sebulan, sementara jurutera junior memperoleh antara RM3,500 hingga RM6,000.

“Bagi juruteknik, julat gaji ialah RM3,000 hingga RM5,000 sebulan, manakala operator pengeluaran menerima antara RM2,500 hingga RM3,000 atau lebih, bergantung pada pengalaman,” katanya.

Beliau turut mengakui pekerja dalam sektor semikonduktor berpotensi menerima tawaran gaji dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi di negara seperti Singapura, Korea Selatan dan Taiwan, walaupun perbandingan itu perlu mengambil kira kos sara hidup.

Menurut Johari, kerajaan turut memperkenalkan Kerangka Insentif Baharu (NIF) pada Mac 2026 dengan penekanan kepada keupayaan pembuatan lebih kompleks, hubungan dengan rantaian bekalan tempatan serta pewujudan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Bagaimanapun, jelasnya, pencapaian sasaran 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030 bukan hanya bergantung pada jumlah bakat yang berjaya dilatih.

“Keupayaan memastikan tenaga mahir mendapat penempatan bersesuaian, memenuhi permintaan industri dan terus menyumbang kepada ekosistem semikonduktor tempatan turut menjadi aspek penting dalam menentukan keberkesanan pelaksanaan NSS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI