MELAKA – Bantuan khas RM1,000 kepada pemandu teksi dan kereta sewa yang layak meliputi seluruh negara, bukan hanya diberikan kepada penerima di Melaka.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu perlu diperjelaskan susulan persoalan dibangkitkan pihak tertentu mengenai penganjuran majlis penyampaian bantuan berkenaan di negeri ini.
Menurutnya, majlis di Melaka merupakan sebahagian daripada siri penyampaian bantuan yang turut diadakan di negeri lain, manakala penerima yang tidak sempat dijemput akan menerima bayaran terus ke akaun bank masing-masing.
“Saya nak membetulkan beberapa kenyataan dekat luar, tanya mengapa hanya di Melaka.
“Hakikatnya ini untuk semua pemandu teksi di seluruh negara, bukan hanya di Melaka sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Khas kepada Pemandu Teksi dan Kereta Sewa di sini, hari ini.
Loke berkata, bantuan sama turut diberikan kepada pemandu teksi dan kereta sewa di setiap negeri, dengan kelayakan penerima disemak berdasarkan rekod dalam sistem agensi pengangkutan awam darat.
Katanya, pemandu yang mempunyai kad pemandu sah serta membuat pengesahan dengan agensi berkenaan akan dikenal pasti bagi membolehkan bantuan RM1,000 disalurkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, proses pengkreditan bantuan membabitkan kira-kira 12,000 nama bermula hari ini, dengan penerima dijangka memperoleh wang berkenaan dalam tempoh dua hingga tiga hari.
“Bermula hari ini juga ada lebih kurang 12,000 nama yang akan kita kreditkan dalam akaun bank masing-masing.
“Dalam tempoh dua, tiga hari mereka akan dapat dalam akaun bank mereka,” katanya.
Beliau berkata, kementerian berharap proses pembayaran bantuan itu dapat dipercepatkan dalam tempoh seminggu dua ini bagi memastikan penerima memperoleh manfaatnya secepat mungkin.
“Jadi kita berharap bantuan ini dapat disalurkan secepat mungkin untuk meringankan beban mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
Sejak bila pentas kempen jadi tempat umum bantuan kerajaan? – Pas soal Anthony Loke


