KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan tempoh pemprosesan pelepasan kebankrapan dipendekkan lagi kepada kurang daripada 36 hari pada tahun depan bagi mempercepat proses pemulihan kewangan individu yang layak mendapat peluang kedua.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha di bawah Program Pelepasan Fast Track itu akan dilaksanakan menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).
Beliau berkata, langkah itu merupakan kesinambungan program pelepasan fast track sedia ada, yang membolehkan permohonan layak diselesaikan dalam tempoh 36 hari, tertakluk kepada syarat dan ketiadaan bantahan.
Azalina berkata, kerajaan juga telah memperkukuhkan usaha pemulihan melalui Dasar Peluang Kedua, yang merekodkan sebanyak 253,457 pelepasan kebankrapan bagi tempoh 2023 hingga September 2026.
“Usaha ini diteruskan melalui Program Pelepasan Fast Track 2026, yang memberikan keutamaan kepada golongan tertentu termasuk ibu atau bapa tunggal, peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mangsa penipuan serta pembeli rumah projek terbengkalai.
“Langkah ini akan disokong melalui penambahbaikan proses kerja, peluasan perkhidmatan digital serta pengukuhan mekanisme pemulihan kewangan bagi membantu lebih ramai individu yang layak mendapatkan peluang kedua,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Azalina berkata, pendigitalan perkhidmatan MdI turut membolehkan permohonan pelepasan kebankrapan dibuat secara dalam talian menerusi portal e-Insolvensi.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai kewajaran seorang Ahli Parlimen meminta Perdana Menteri mengarahkan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap individu tertentu, Azalina berkata, cadangan memisahkan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara antara langkah bagi mengelakkan persepsi campur tangan dalam proses pendakwaan.
Beliau berkata, mekanisme pelantikan Pendakwa Raya yang dibahaskan di Parlimen akan membolehkan proses itu lebih telus, selain memperkukuh semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif.
“Yang kita tidak mahu ialah persepsi seolah-olah terdapat ‘tangan ghaib’ di sebalik sesuatu tindakan,” katanya. – BERNAMA


