IPOH – Pengetua sebuah sekolah di Bagan Datuk yang tular susulan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap pelajar membuat laporan polis pada berhubung video yang memaparkan dirinya berdepan keluarga pelajar terbabit.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, laporan itu dibuat lelaki berusia 56 tahun berkenaan sehari selepas polis menerima laporan daripada ibu kepada pelajar Tingkatan Tiga terbabit pada Sabtu lalu.
“Guru berkenaan ada buat laporan polis kerana tidak berpuas hati atas video yang ditularkan di media sosial itu. Bagaimanapun, kita akan melihat daripada siasatan yang teliti berkaitan perkara ini kerana ia membabitkan penjawat awam.
“Bagi kes ini kita dapati keluarga mangsa menyerang guru terbabit, atas tindakan guru itu yang didakwa membuat panggilan pada pelajar berkenaan seperti yang dikatakan sebelum ini iaitu bagi meluahkan rasa cinta dan sayang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, polis sedang menjalankan siasatan terhadap laporan yang dibuat keluarga pelajar berkenaan mengikut Seksyen 15(A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mohd Alwi berkata, laporan yang dibuat pengetua itu pula disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini, sembilan individu termasuk pengetua berkenaan telah diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah Mohd Alwi, polis akan meneliti perkara itu secara menyeluruh memandangkan kes berkenaan membabitkan individu dalam perkhidmatan awam.
Terdahulu, isu berkenaan tular di media sosial menerusi satu hantaran di platform Threads yang mendakwa pengetua terbabit menghantar mesej berunsur romantik kepada seorang pelajar perempuan, termasuk ungkapan ‘I love you’.
Dakwaan itu turut mencetuskan perhatian susulan penyebaran rakaman video yang memaparkan lelaki dipercayai pengetua berkenaan berdepan beberapa wanita dipercayai ahli keluarga mangsa yang mahu mendapatkan penjelasan daripadanya.
Susulan dakwaan tersebut, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Perak menjalankan siasatan, manakala pengetua terbabit dilaporkan dipindahkan sementara ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk bagi membolehkan siasatan dijalankan. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


