IPOH – Kemajuan manusia sejak dahulu dibina melalui penemuan dan perkembangan ilmu yang diwariskan dari satu generasi kepada generasi seterusnya, daripada penciptaan roda dan tulisan hingga kemunculan elektrik, komputer, internet serta kecerdasan buatan (AI) yang mengubah cara kehidupan moden dijalankan.
Perubahan teknologi mengikut peredaran zaman memperlihatkan bahawa inovasi bukan sekadar menghasilkan sesuatu yang baharu, sebaliknya merangkumi usaha berterusan untuk menambah baik kaedah sedia ada, meningkatkan kecekapan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat.
Dalam konteks pembangunan semasa, inovasi tidak semestinya bermula dengan teknologi canggih kerana penambahbaikan proses kerja, pengurangan kos dan pemudahan urusan harian juga mampu menghasilkan nilai sekiranya dilaksanakan secara berkesan.
Pendekatan itu turut menuntut pembentukan ekosistem yang menghubungkan pendidikan, kepakaran, pengalaman industri dan kerjasama strategik bagi memastikan idea yang dihasilkan tidak terhenti pada peringkat cadangan, sebaliknya dapat diuji, dikembangkan dan diterjemahkan kepada manfaat sebenar.
Inovasi dan penerapan teknologi menjadi antara elemen penting dalam kerangka Perak Sejahtera 2030 yang digariskan Kerajaan Negeri Perak bagi memacu pembangunan sosioekonomi negeri secara mampan.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, inovasi perlu dilihat sebagai legasi yang dibangunkan berdasarkan ilmu dan pengalaman generasi terdahulu, sebelum ditambah baik untuk memenuhi keperluan semasa serta diwariskan kepada generasi akan datang.

“Pada akhirnya, nilai inovasi bukan terletak semata-mata pada sejauh mana sesuatu itu kelihatan baharu. Nilainya terletak pada keupayaannya menyelesaikan masalah, memudahkan kehidupan dan memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Kok Lim berkata, usaha membudayakan inovasi itu turut diterjemahkan melalui INNORACE atau Eksplorasi Inovasi yang memberi ruang kepada peserta menguji kreativiti, pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah dan kerja berpasukan.
Katanya, konvensyen itu menampilkan 60 pempamer daripada pelbagai organisasi dan rakan strategik yang berkongsi produk, sistem, teknologi serta pendekatan inovatif, selain Mini Karnival STEM melibatkan hampir 200 murid menerusi aktiviti robotik, eksperimen sains dan cabaran inovasi.
“Penglibatan pelbagai peringkat usia itu mencerminkan kepentingan membina budaya inovasi secara berterusan, dengan golongan muda diberi peluang meneroka idea baharu, manakala mereka yang berpengalaman berperanan membimbing serta berkongsi pengetahuan.
“Dalam usaha memastikan idea dapat diterjemahkan kepada hasil yang boleh dimanfaatkan, Sesi Demonstrasi Produk Inovasi dan Pertandingan Power Pitching Inovasi turut menyediakan ruang kepada peserta mempersembahkan hasil, menjelaskan potensi idea dan menerima pandangan bagi tujuan penambahbaikan.

“Taklimat Harta Intelek oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pula memberi penekanan kepada kepentingan perlindungan, pengurusan dan pengembangan hasil inovasi supaya penciptaan yang mempunyai nilai dapat dipelihara serta dimanfaatkan secara lebih meluas,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama yang terjalin menerusi konvensyen itu tidak berakhir setakat penganjuran program, sebaliknya menjadi permulaan kepada lebih banyak perkongsian dan usaha bersama untuk membangunkan penyelesaian inovatif yang memberi manfaat kepada masyarakat serta negeri Perak.
“Kita menerima dunia yang dibina oleh generasi terdahulu. Mereka meninggalkan kepada kita ilmu, teknologi dan pelbagai penyelesaian yang membentuk kehidupan hari ini. Kini, giliran kita pula untuk menambah baik apa yang telah kita terima dan menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk generasi seterusnya.
“Inilah makna inovasi yang lebih besar. Bukan sekadar menghasilkan sesuatu yang baharu, tetapi memastikan apa yang kita cipta hari ini mempunyai nilai untuk masa yang akan datang,” jelasnya.
Justeru, kesinambungan kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor industri dan masyarakat menjadi antara faktor penting untuk memastikan inovasi berkembang sebagai amalan berterusan, bukan sekadar aktiviti bermusim tetapi mampu menyumbang kepada kemajuan negeri dan kesejahteraan generasi akan datang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


