Jitu bangkit selepas tiga dekad, hidupkan kembali legasi rock Ipoh

LEBIH tiga dekad menyepi daripada radar industri muzik arus perdana bukan alasan untuk menguburkan impian, sebaliknya ia menjadi ruang buat kumpulan rock kelahiran Ipoh, Jitu, mengumpul kembali kekuatan untuk melangkah ke pentas dengan semangat baharu.

Selepas kembali aktif pada 2024, kumpulan yang pernah mewarnai persada rock tempatan menerusi album ‘Etika Masa’ itu kini berusaha menghidupkan semula karya mereka, khususnya buat peminat genre muzik rock era 90-an.

Bagi pemain dram dan satu-satunya anggota asal Jitu, Sofian Ghani, 60, keputusan menghidupkan semula kumpulan itu banyak didorong usaha pemain gitar, Jamaludin Ibrahim, 48, yang mahu melihat nama Jitu kembali aktif selepas mengadakan persembahan di sebuah acara di Ipoh pada tahun 2023.

kumpulan rock Jitu kumpulan Jitu Ipoh, kumpulan rock Jitu kembali aktif, kebangkitan semula kumpulan Jitu, Jitu kumpulan rock era 90-an 1. Jitu kembali gegar pentas rock 2. kumpulan rock Malaysia era 90-an 3. album Etika Masa Jitu 4. lagu Terkunci Dalam Sengsara 5. single Rindu Dalam Sengsara
Kumpulan rock 90-an Jitu ketika membuat latihan di Studio Muzik Jalan Maxwell, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 OKTOBER 2026.

Menurutnya, usaha itu bukan sekadar untuk menghidupan semula kumpulan rock itu, sebaliknya ia turut menuntut pencarian anggota baharu yang mampu membawa identiti muzik Jitu.

Sofian berkata, proses membentuk barisan anggota baharu mengambil masa yang agak lama sebelum mereka kembali membuat persembahan secara konsisten, dengan kebanyakan lagu yang dimainkan dipetik daripada album mereka yang diterbitkan pada tahun 1990.

“Bukan senang untuk berada dalam industri ini, lebih-lebih lagi apabila sudah banyak kumpulan muzik era 1990-an khususnya yang nama-nama besar, sudah kembali aktif sejak kebelakangan ini.

“Jadi, kami cuba ambil peluang ini dan berusaha untuk terus bergerak ke hadapan demi peminat lama dan pendengar baharu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette (MG) Perak.

Kini, Jitu bergerak dengan gabungan Sofian dan anggota baharu, iaitu vokalis Ridzwan Yan, 52, pemain gitar Asri Osman, 51, pemain gitar ritma, Izwan Afandy Ishak, 46, serta Jamaludin.

Pemain drum kumpulan rock 90-an Jitu, Sopian Ghani di Studio Muzik Jalan Maxwell, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 OKTOBER 2026.

Daripada Gejala ke Jitu, legasi yang mahu dihidupkan

Sebelum dikenali sebagai Jitu, kumpulan rock itu bermula dengan nama ‘Gejala’ sekitar 1983, ketika mereka mengasah bakat menerusi persembahan di beberapa acara termasuk majlis perkahwinan dan program anjuran kerajaan.

Ketika genre rock rancak berkembang pada era 1980-an, Gejala turut menyertai pertandingan muzik, termasuk muncul juara Rock Perak di Lumut pada 1986, selain mengambil bahagian dalam pertandingan rock yang berlangsung di Pulau Pinang.

Barisan asalnya terdiri daripada Zulnatar, Sham, Ramli, Harun dan Sofian, dengan Harun sebagai penyanyi utama sebelum perubahan dalam perjalanan hidup anggota menyebabkan aktiviti kumpulan muzik itu semakin perlahan.

kumpulan rock Jitu kumpulan Jitu Ipoh, kumpulan rock Jitu kembali aktif, kebangkitan semula kumpulan Jitu, Jitu kumpulan rock era 90-an 1. Jitu kembali gegar pentas rock 2. kumpulan rock Malaysia era 90-an 3. album Etika Masa Jitu 4. lagu Terkunci Dalam Sengsara 5. single Rindu Dalam Sengsara
Gambar anggota kumpulan asal rock 90-an Jitu di Studio Muzik Jalan Maxwell, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 OKTOBER 2026.

Pada tahun 1989, kumpulan rock itu kemudian menukar nama kepada Jitu sebelum merakamkan 10 lagu untuk album Etika Masa, yang mengetengahkan gabungan pop rock dan funky rock di bawah terbitan Family Group Musical (FGM).

Album berkenaan mula dipasarkan pada Disember 1990 dengan dua lagunya, Etika Masa dan Terkunci Dalam Sengsara, dicalonkan untuk program muzik televisyen dan radio tempatan pada 1991.

Lagu Terkunci Dalam Sengsara mendapat perhatian pendengar sehingga menduduki tangga teratas carta Pujaan 10 Nescafe dan tempat kedua dalam rancangan Muzik-Muzik TV3, sekali gus menjadi antara karya yang terus mengikat nama Jitu.

Bagi Sofian, pengalaman jatuh bangun dalam industri yang turut mengingatkannya kepada suasana dipaparkan dalam filem Rock arahan Mamat Khalid.

Kumpulan rock 90-an Jitu ketika membuat latihan di Studio Muzik Jalan Maxwell, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 OKTOBER 2026.

“Hendak diceritakan pengalaman pahit manis dalam industri muzik ini terlalu panjang, dan cukup saya katakan sebagaimana dalam filem Rock, semua kami sudah rasai.

“Asam garam yang saya sudah rasa ini mungkin tidak dilalui anggota baharu, namun ia sentiasa dijadikan semangat untuk kami untuk sentiasa bergerak ke hadapan, walau apa juga keadaan,” katanya.

Sofian berkata, kehadiran pendengar muda dalam beberapa persembahan yang disertai mereka memberikan petanda positif, walaupun mereka masih memerlukan masa untuk membina semula pengenalan terhadap nama dan lagu Jitu.

“Apabila kami membuat persembahan, ada juga golongan muda yang datang menonton. Mungkin mereka tidak mengenali lagu Jitu sebelum ini, tetapi kami cuba memperkenalkannya supaya mereka dapat menerima muzik kami,” katanya lagi.

Rindu Dalam Sengsara jadi taruhan baharu

Tanpa bernaung di bawah mana-mana label muzik, Sofian berkata, Jitu memilih untuk terus menetap di Ipoh kerana lebih selesa, selain memudahkan anggota berkumpul untuk latihan dan membuat persediaan menjelang persembahan.

Ujar Sofian, lazimnya kumpulannya akan berlatih bermain muzik sekali seminggu, namun jadual latihan akan ditambah kepada tiga kali seminggu sekiranya terdapat permintaan untuk mengadakan persembahan.

kumpulan rock Jitu kumpulan Jitu Ipoh, kumpulan rock Jitu kembali aktif, kebangkitan semula kumpulan Jitu, Jitu kumpulan rock era 90-an 1. Jitu kembali gegar pentas rock 2. kumpulan rock Malaysia era 90-an 3. album Etika Masa Jitu 4. lagu Terkunci Dalam Sengsara 5. single Rindu Dalam Sengsara
Kumpulan rock 90-an Jitu ketika membuat latihan di Studio Muzik Jalan Maxwell, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 OKTOBER 2026.

Katanya lagi, usaha memperkenalkan semula Jitu turut dilakukan menerusi platform sosial media seperti TikTok di samping memenuhi jemputan untuk mengadakan persembahan langsung pada mana-mana acara mahupun slot temu bual di radio tempatan.

“Sebagai usaha untuk mengembangkan lagi karya kami, pada Disember tahun lalu, Jitu ada melancarkan single bertajuk Rindu Dalam Sengsara hasil komposer Abu Kemenyantz.

“Sambutan yang diterima sangat memberangsangkan apabila single kami itu meraih lebih daripada 6,000 tontonan di laman YouTube,” katanya.

Duan galas tanggungjawab vokalis baharu

Sementara itu, Ridzwan yang lebih dikenali sebagai Duan berkata, peluang menyertai Jitu bermula apabila dia dipelawa mengisi posisi sebagai penyanyi untuk sebuah persembahan di Ipoh ketika kumpulan itu tidak mempunyai vokalis.

Katanya, daripada jemputan itu, kerjasama berkenaan berterusan selepas mereka kembali menghubunginya dengan mempelawa untuk menjadi vokalis Jitu secara tetap.

kumpulan rock Jitu kumpulan Jitu Ipoh, kumpulan rock Jitu kembali aktif, kebangkitan semula kumpulan Jitu, Jitu kumpulan rock era 90-an 1. Jitu kembali gegar pentas rock 2. kumpulan rock Malaysia era 90-an 3. album Etika Masa Jitu 4. lagu Terkunci Dalam Sengsara 5. single Rindu Dalam Sengsara
Penyanyi Kumpulan rock 90-an Jitu, Ridzwan Yan ketika membuat latihan di Studio Muzik Jalan Maxwell, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 OKTOBER 2026.

“Minat saya terhadap muzik telah timbul sejak berusia 16 tahun, dan pada peringkat awal saya hanya bermain gitar bes sebelum beralih kepada bidang nyanyian.

“Bukan senang untuk bersaing dengan penyanyi lama yang hebat. Jadi, kita perlu mencari gaya sendiri untuk menyampaikan lagu dan memberikan persembahan pada yang baik buat Jitu,” katanya lagi.

Bagi Duan, harapan utamanya adalah untuk melihat Jitu terus berkembang dan mendapat tempat dalam industri muzik masa kini, selagi anggota masih berupaya memberikan persembahan terbaik pada setiap acara yang disertai.

Buat Jitu, kebangkitan semula bukan sekadar mengembalikan nama yang pernah dikenali sebelum ini, tetapi ia adalah peluang menyambung legasi muzik yang berakar dari Ipoh kepada generasi baharu. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Pakaian M Daud Kilau antara bahan Arkib Muzik Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI