KUALA KANGSAR – Institusi istana harus menjadi tempat menyatukan semua pihak, dan bukan sebagai gelanggang untuk memperbesar perbezaan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, semua Ahli Dewan Negara dan pembesar istana di negeri ini harus menjauhi daripada sebarang pertelingkahan, perebutan pengaruh dan budaya berpuak-puak.
“Jika timbul perselisihan, selesaikanlah melalui perundingan yang jujur dan beradab. Amalkan syura, dengarkan pandangan sesama sendiri, dan utamakan kepentingan negeri mengatasi kehendak peribadi.
“Jangan kerana mahu mempertahankan kedudukan sendiri, amanah yang lebih besar diabaikan,” titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-175 di Istana Iskandariah, di sini, pada Khamis.
Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sultan Nazrin bertitah, ahli Dewan Negara dan pembesar istana perlu memahami peranan institusi Raja dalam kerangka raja berperlembagaan, termasuk menghormati batas kuasa dan tanggungjawab yang ditetapkan.
Baginda menegaskan bahawa, kerajaan dan institusi negeri perlu saling bekerjasama secara profesional, tanpa mencampuri urusan pentadbiran atau menggunakan kedudukan untuk kepentingan politik kepartian.
“Istana hendaklah terus dihormati sebagai institusi yang menaungi rakyat dan memayungi seluruh negeri. Kepercayaan rakyat terhadap institusi Raja akan bertambah kukuh apabila mereka melihat pembesar-pembesarnya berkhidmat dengan amanah, bersikap adil dan menjaga tutur kata,” titah baginda lagi.
Pada masa sama Sultan Nazrin mengingatkan semua Ahli Dewan Negara dan pembesar istana agar menjauhi amalan rasuah, salah guna kuasa mahupun sebarang sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan serta boleh mencemarkan nama baik istana.
Titah baginda lagi, sebarang kedudukan jangan dijadikan sebagai alat untuk meminta keistimewaan, mengumpulkan kekayaan atau mencampuri urusan yang bukan dalam bidang tanggungjawab.
“Jangan sekali-kali menggunakan nama Raja, pengaruh istana atau gelaran yang disandang untuk mendapatkan keuntungan peribadi, untuk mencari laba dan peluang perniagaan, atau membenarkan diri diperalatkan untuk membantu pihak tertentu secara tidak wajar, meragukan atau menekan sesiapa,” titah baginda.
Selain itu, baginda mengingatkan bahawa adat istiadat yang diwarisi merupakan khazanah yang mencerminkan sejarah, jati diri dan kebijaksanaan generasi terdahulu, justeru perlu dipelihara dengan penuh penghormatan.
Titah Sultan Nazrin, pembesar istana perlu sentiasa menambah ilmu, memahami perubahan dalam masyarakat dan memanfaatkan teknologi secara berhemah bagi memperkemas cara bekerja.
“Tradisi akan terus dihormati apabila pendukungnya mampu memelihara nilai yang baik serta menyesuaikan pelaksanaannya dengan keperluan semasa.
“Jadilah teladan kepada keluarga, pegawai, kakitangan dan masyarakat. Buktikan bahawa orang yang dekat dengan Raja juga dekat dengan tanggungjawab, orang yang diberi penghormatan juga tahu menghormati orang lain,” titah baginda. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Pengaruh global cabar jati diri Muslim, identiti ummah – Sultan Nazrin


