KUALA KANGSAR – Semua ahli Dewan Negara Perak dan pembesar istana negeri diingatkan supaya memberikan perhatian kepada golongan yang memerlukan termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta keluarga yang kesempitan hidup.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pembesar istana hendaklah sentiasa dekat dengan rakyat, memahami kehidupan mereka serta mendengar keluhan yang memerlukan perhatian.
Menurut baginda, rakyat tidak seharusnya berasa takut atau terhalang daripada untuk menyampaikan masalah, sebaliknya perlu disantuni dengan penuh hormat.
“Peliharalah hubungan yang baik dengan semua lapisan masyarakat. Negeri ini didiami oleh rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
“Hormatilah kepelbagaian tersebut dan bekerjalah untuk memperkukuh perpaduan, selaras dengan perlembagaan dan undang-undang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-175 di Istana Iskandariah di sini pada Khamis.
Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu Sultan Nazrin mengingatkan bahawa, kesetiaan kepada Raja menuntut keikhlasan hati dan keberanian untuk menyampaikan pandangan yang benar.
Titah baginda, kesetiaan yang sebenar membantu Raja membuat keputusan yang adil dan tepat, sementara keberanian dalam menyatakan kebenaran, dengan disertai adab dan niat yang ikhlas, ialah tanda nilai kesetiaan yang tinggi.
“Beta tidak memerlukan orang di sekeliling beta yang hanya mengiakan setiap perkara atau menyampaikan hanya apa yang menyenangkan pendengaran beta.
“Beta memerlukan ahli Dewan Negara dan para pembesar istana yang berani menasihati dengan hikmah, menegur dengan adab, serta mengemukakan pandangan berdasarkan ilmu dan fakta.
“Jika sesuatu perkara itu baik, nyatakanlah kebaikannya. Jika terdapat kelemahan atau risiko, jelaskanlah dengan jujur dan bertanggungjawab,” titah Sultan Nazrin. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Pengaruh global cabar jati diri Muslim, identiti ummah – Sultan Nazrin


