ZACT 2.2 perkukuh sinergi korporat, perkasa sosioekonomi asnaf

TANJUNG MALIM – Program ZAPAR Care Tour (ZACT 2.2) anjuran Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR) diadakan bagi memperkukuh hubungan strategik dengan pembayar zakat korporat, selain memberi peluang kepada mereka untuk mendekati golongan asnaf.

Program yang turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) itu menghimpunkan penyertaan 11 syarikat korporat bersama pembayar zakat individu serta wakil pengurusan kedua-dua institusi berkenaan.

Antara syarikat yang menyertai program berkenaan ialah Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON), Klinik Nilam, One World Marine Sdn Bhd, Pertubuhan Peladang Kawasan Slim River/Tanjong Malim dan Medifa Care Group Sdn Bhd.

Selain itu, Ameen Products Sdn Bhd, Harizsyah Success Resources, MSH Dia Care Sdn Bhd, Kedai Emas Hafshah dan Koperasi Sumbangan Bakti Batang Padang Berhad turut bersama-sama menyertai program tersebut.

ZAPAR menerusi satu kenyataan memaklumkan, program tersebut secara tidak langsung membantu meningkatkan kefahaman peserta mengenai pengurusan zakat, pelaksanaan bantuan kepada asnaf serta pembangunan projek wakaf di negeri ini.

Menurutnya, ia turut memberi peluang kepada peserta untuk menyaksikan sendiri impak pengurusan zakat dan wakaf terhadap kesejahteraan masyarakat Islam di Perak.

“Sepanjang program berlangsung, peserta berpeluang menziarahi kediaman dan premis golongan asnaf, termasuk fakir, miskin serta usahawan asnaf.

“Dalam sesi berkenaan, sumbangan berupa beras, barangan makanan dan wang tunai turut disampaikan bagi membantu meringankan beban penerima serta memenuhi keperluan harian mereka.

“Pendekatan turun padang itu turut membuka ruang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan penerima bantuan, memahami cabaran kehidupan yang dihadapi serta meninjau usaha MAIPk dalam membangunkan dan memperkasa sosioekonomi asnaf melalui pelbagai skim bantuan zakat,“ katanya.

Selain itu, kenyataan itu berkata,program berkenaan turut merangkumi lawatan ke projek wakaf di bawah kelolaan MAIPk.

“Menerusi lawatan itu, peserta didedahkan kepada peranan wakaf dalam menyokong pembangunan ummah, termasuk kepentingan wakaf tunai sebagai instrumen sumbangan berterusan yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Penyertaan sektor korporat dalam ZACT 2.2 mencerminkan kepentingan kerjasama strategik antara institusi pengurusan zakat dengan pihak korporat dalam memperluas kesedaran mengenai tanggungjawab menunaikan zakat dan berwakaf.

“Kerjasama seumpama itu juga berpotensi menggalakkan lebih banyak syarikat meningkatkan penglibatan warga kerja dalam menunaikan zakat serta menyumbang kepada pembangunan wakaf melalui saluran yang disediakan,“ ujarnya.

Sehubungan itu, ZAPAR berharap hubungan antara pembayar zakat, pewakaf, sektor korporat, MAIPk dan golongan asnaf dapat terus diperkukuh selain dapat meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan zakat dan wakaf dalam menyokong kesejahteraan serta pembangunan sosioekonomi umat Islam di Perak. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin lancar ZAPAR, tingkat kecekapan tadbir urus zakat di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI