PCSH Pink and Purple Fun Run, bawa mesej kesedaran kanser

IPOH – Lebih 1,200 peserta menyertai PCSH Pink and Purple 5KM Fun Run 2026 anjuran Perak Community Specialist Hospital (PCSH) di sini, pada Ahad.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Persatuan Pakar Obstetrik dan Ginekologi Ipoh, Perak serta Kumpulan Sokongan Kanser Payudara HRPB.

Presiden PCSH, Datuk Lee Hau Hian berkata, program itu bukan sahaja bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat malah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kanser payudara dan kanser ginekologi, selain menyemarakkan semangat kebajikan dalam kalangan komuniti.

Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada inisiatif ‘Beyond Pink 2026 – Prevention Can Save Her’, yang memberi penekanan terhadap kepentingan pencegahan, pengesanan awal dan pemeriksaan saringan kanser.

PCSH Pink and Purple Fun Run, bawa mesej kesedaran kanser
Presiden Perak Community Specialist Hospital (PCSH), Datuk Lee Hau Hian. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 NOVEMBER 2026.

“Penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam program seumpama itu penting bagi memupuk kesedaran mengenai penjagaan kesihatan, di samping membantu golongan yang memerlukan.

“Penganjuran program berkenaan turut mendapat sokongan doktor, jururawat, pihak pengurusan, kakitangan, jawatankuasa penganjur dan sukarelawan PCSH, bersama penaja korporat serta rakan komuniti.

“Inisiatif itu memperlihatkan bagaimana penganjuran acara sukan komuniti mampu melangkaui aktiviti riadah dengan membawa mesej kesedaran kesihatan, mengukuhkan hubungan masyarakat serta memberikan manfaat secara langsung kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan peserta larian PCSH Pink and Purple 5KM Fun Run 2026 di sini, hari ini.

PCSH Pink and Purple Fun Run, bawa mesej kesedaran kanser
Peserta PCSH Pink and Purple 5km Fun Run anjuran Perak Community Specialist Hospital (PCSH) di Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 NOVEMBER 2026.

Program berkenaan turut membawa misi kebajikan apabila RM5 daripada setiap yuran pendaftaran peserta diperuntukkan bagi menyediakan kotak bantuan barangan keperluan kepada 10 rumah kebajikan terpilih, merangkumi rumah anak yatim, pusat penjagaan warga emas dan pusat penjagaan orang kurang upaya (OKU).

Sumbangan berupa makanan asas dan barangan keperluan harian itu bernilai lebih RM6,000 telah disampaikan kepada wakil rumah kebajikan terbabit sempena Hari Komuniti PCSH semalam. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

SMCI perkasa akses rawatan kanser prostat di Perak menerusi teknologi HIFU

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI