IPOH – Sebanyak 177 prasekolah terpilih di seluruh Perak bakal menerima susu kotak secara percuma menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perak Fresh hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Farm Fresh Bhd.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program yang dilaksanakan bermula November ini, memberi tumpuan kepada murid prasekolah di kawasan luar bandar melibatkan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan lebih ramai kanak-kanak, khususnya di kawasan luar bandar, mendapat akses kepada minuman berkhasiat bagi menyokong tumbesaran dan pembelajaran mereka.
“Inisiatif ini bertujuan memperluas akses kepada minuman berkhasiat khususnya dalam kalangan murid di kawasan luar bandar di samping membantu memenuhi keperluan nutrisi serta menyokong tumbesaran dan proses pembelajaran mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi merangkap Pengasas Bersama Farm Fresh, Azmi Zainal menyerahkan plak simbolik bagi pelaksanaan program berkenaan kepada Saarani sempena kunjungan hormat syarikat itu di pejabatnya.

Saarani berkata, kerjasama tersebut turut membuka ruang untuk memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan negeri dan Farm Fresh, khususnya dalam pembangunan industri tenusu, sektor pertanian serta program kesejahteraan rakyat.
Selain pelaksanaan program CSR, Farm Fresh turut memperluas pelaburannya di Perak menerusi pembangunan kilang penghasilan susu segar, mentega dan aiskrim serta aktiviti penternakan lembu tenusu.
Syarikat itu juga terlibat dalam penanaman jagung bijian secara berskala besar dengan bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Perak.
Menurut Saarani, perkembangan tersebut dijangka menyokong pembangunan sektor agromakanan negeri, selain membuka peluang pekerjaan dan menjana limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Farm Fresh ini diharap dapat menjadi jambatan kepada pelaksanaan lebih banyak program dan projek berimpak tinggi yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan di negeri Perak,” katanya. -MG Perak


