TANJUNG MALIM – Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun maut manakala dua lagi mangsa termasuk kanak-kanak perempuan enam tahun cedera dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 388 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, pada Sabtu.
Ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah kereta jenis Honda City dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.35 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan. Salah seorang mangsa didapati telah tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kanak-kanak berkenaan juga ditemukan tersepit dan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Saiful Ammar Ismail dan membabitkan lapan anggota BBP Tanjung Malim itu tamat sepenuhnya pada jam 9.46 pagi. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Suami isteri maut, anak parah nahas MPV, bas persiaran di JRTB


